KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengalu-alukan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat kerana terdapat keperluan untuk memperketatkan peraturan secara menyeluruh terhadap industri tembakau dan vape.
Bagaimanapun, Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, pihaknya amat kecewa dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menggugurkan peruntukan larangan merokok terhadap generasi penamat (GEG) dalam RUU yang disemak itu.
“Nampaknya KKM telah mengabaikan syor oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk memasukkan peruntukan GEG.
“KKM boleh membenarkan proses demokrasi untuk memutuskan sama ada GEG adalah ‘tidak berperlembagaan’ dengan membiarkan Ahli Parlimen berdebat mengenai peruntukan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, walaupun RUU itu melarang penjualan tembakau dan produk vape kepada kanak-kanak bawah umur, ia gagal menunjukkan atau mencadangkan strategi Malaysia bebas rokok yang sepatutnya diperjuangkan oleh KKM.
“Apa yang dibuat oleh RUU itu ialah mencegah merokok sehingga umur 18. Tidak menjadi rahsia, golongan berumur 18 tahun juga antara sasaran industri tembakau dan vape.
“Justeru kita boleh melihat perokok baharu dan pengguna vape dari umur 18 tahun. Perkara ini akan ditangani dengan GEG,” katanya.
Pada masa sama, Dr Azizan juga berkata, istilah ‘peranti merokok’ juga tidak terdapat dalam RUU yang diluluskan itu atas sebab yang tidak diketahui.
“Kami mengetahui cadangan agar peranti merokok dikawal oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tetapi kami berpendapat alat tersebut, cecair dan gel vape perlu dikawal selia oleh KKM untuk mengelak pertindihan dalam penguatkuasaan.
“Lebih-lebih lagi, terdapat peranti merokok pakai buang dijual di pasaran tersedia dengan kandungan cecair itu. Ini mungkin menjadi isu jika penguatkuasaan dijalankan oleh dua kementerian berasingan,” katanya.
Sementara itu, Dr Azizan turut meminta penjelasan KKM berkenaan pengurangan denda merokok di zon bebas asap rokok daripada RM10,000 (atau penjara sehingga dua tahun) kepada RM5,000 (tiada hukuman penjara).
“Adakah KKM mengambil sikap berlembut mengenai kesan bahaya merokok terhadap kesihatan awam?
“Kami juga berharap KKM akan memastikan penguatkuasaan yang lebih ketat untuk dasar ini berkesan.
“Selain itu, kami mahu melihat komitmen lebih kukuh daripada KKM ke arah pendidikan kesihatan awam, melalui kempen anti-merokok dan anti-vaping yang lebih meluas,” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan lebih suara bersetuju.
RUU ini dibahaskan seramai 27 Ahli Parlimen selama dua hari bermula semalam.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas bacaan kali kedua rang undang-undang berkenaan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
RUU ini terlebih dulu mendapat perhatian bukan saja dalam kalangan Ahli Parlimen, tetapi pelbagai lapisan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pelajar.
Ia kerana, peruntukan larangan merokok terhadap GEG digugurkan daripada RUU tersebut selepas mendapat nasihat dari Peguam Negara. – 1 Disember, 2023