KUALA LUMPUR — Cadangan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) versi Kelantan dilihat tidak munasabah kerana dikhuatiri bakal melahirkan pelatih belia yang ‘kurang berkualiti’.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Datuk Mokhtar Omar berkata, langkah itu tidak wajar kerana modul pembelajaran dan pengajaran versi negeri tersebut mungkin kurang berkesan, tidak seperti modul-modul PLKN terdahulu yang dilihat berjaya mencapai matlamatnya dalam membentuk jati diri para belia yang terlibat.
“PLKN ini sebenarnya memang satu usaha yang baik untuk golongan remaja dan belia bagi meningkatkan semangat patriotisme serta jati diri mereka.
“Tapi bila kerajaan negeri Kelantan beri cadangan untuk adakan PLKN versi mereka sendiri, saya kurang bersetuju sebab mungkin daripada segi pengalaman itu (mengendalikan modul PLKN) mereka tidak ada.
“Perkara ini harus daripada peringkat (kerajaan) pusat sebab mereka sudah lalui perkara-perkara sebegini dengan tenaga pengajar yang bermutu dan lebih tahu keperluan pada masa akan datang,” katanya kepada Scoop.
Ahad lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri meneliti cadangan untuk melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018, dengan kaedah serta cara latihan yang berbeza, sebagaimana yang terkandung dalam resolusi Kongres Arah Tuju Kelantan Maju yang diadakan di Putrajaya pada Jun lalu.
PLKN 3.0 itu mungkin akan dilaksanakan pada 2025. Program berkenaan yang dikelolakan di bawah Kementerian Pertahanan mula dilaksanakan pada 2004.
Modul latihan yang diterapkan terbahagi kepada empat bahagian iaitu modul fizikal, modul kenegaraan, modul pembinaan karakter dan modul khidmat komuniti, diajar tenaga pendidik bertauliah yang dilantik oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).
Mokhtar menambah, jika versi berbeza dilaksanakan kemungkinan ia tidak dapat membentuk kesaksamaan dalam pembentukan jati diri seperti mana matlamat asal PLKN ditubuhkan pada satu masa dahulu.
“Bagi saya tidak wajar untuk membuat pengasingan dalam suasana yang sebegini yang mana kita hendak bentuk satu penyatuan, satu acuan belia Malaysia yang sama.
“Kalau boleh biarlah semua peserta yang terpilih kelak belajar modul serta silibus yang sama agar matlamat perpaduan PLKN itu dapat dicapai dengan sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jika ada mana-mana negeri yang mahu melaksanakan PLKN edisi berbeza, ia harus menggunakan perbelanjaan sendiri tanpa melibatkan dana daripada kerajaan pusat.
Ini kerana, katanya, jika sesebuah negeri menolak untuk mengadakan PLKN mengikut versi kerajaan pusat, secara logiknya ia tidak melayakkan negeri itu mendapat peruntukan bagi tujuan tersebut.
“Bagi saya tidak ada masalah untuk mana-mana negeri bukan sahaja Kelantan, Sabah atau Sarawak ke untuk menawarkan program sedemikian rupa asalkan ia memenuhi matlamat atau objektif yang ingin dicapai.
“Kalau untuk membentuk jati diri anak muda dan tidak ada konflik perlembagaan Malaysia atau undang-undang bagi saya mungkin tidak ada masalah lagipun ia boleh mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan persekutuan.
“Ini kerana mereka (kerajaan negeri) nak adakan versi sendiri, sudah tentu mereka mahukan tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran tertentu… takkan mereka nak pakai fasilitator lain tapi nak kerajaan persekutuan tanggung pula kan?” katanya.
Ahmed Razman turut menambah sekiranya PLKN kembali dilaksanakan kelak, beliau berharap perhatian dapat diberikan terhadap penambahbaikan modul pembelajaran lebih jitu bagi membentuk generasi belia yang berdaya saing demi pembangunan ekonomi negara.
“Modul lama bukan tidak bagus, cuma perlu ditambah baik lagi terutama daripada aspek situasi ekonomi global yang sentiasa bergerak pantas sekarang.
“Kita mahu melahirkan anak-anak muda yang berdaya saing dan mampu menjadi seperti usahawan untuk keterjaminan makanan sebagai contoh, atau belia yang melibatkan diri dalam bidang TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) atau STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) yang akan melonjak ekonomi negara ke arah lebih baik,” katanya. – 29 November, 2023