KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia mendedahkan kepada mahkamah justifikasi berhubung pembekuan aset milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin Berhad (AP) pada 23 November lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, NGO yang sedang disiasat itu juga dialu-alukan untuk mengambil tindakan undang-undang jika merasakan ada keperluan untuk berbuat demikian.
“SPRM menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak. SPRM bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah justifikasi mengapa pembekuan aset dibuat.
“Terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka merasa ada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Azam, tindakan membekukan 41 akaun bank melibatkan NGO terbabit dan syarikat entitinya adalah satu prosedur siasatan biasa di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
“Ingin ditegaskan SPRM telah dipertanggungjawab dan diamanahkan untuk menyiasat dengan adil dan tegas sebarang isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, terutamanya kes berkepentingan awam yang melibatkan ketirisan dana,” katanya.
Terdahulu, Aman Palestin menerusi sidang media yang diadakan pada malam semalam berkata, tindakan SPRM membekukan 41 akaun dan beberapa entiti berjumlah RM15,868,762.00 disifatkan berniat jahat serta cubaan memburukkan imej mereka.
Peguam NGO terbabit, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, tindakan itu juga didakwa propaganda jahat untuk membunuh karakter (character assassination) Aman Palestin dan ahli lembaga pengarahnya.
Susulan itu, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbeku 41 akaun bank milik pertubuhan bukan kerajaan itu.
Sekiranya agensi itu gagal berbuat demikian, pihak Aman Palestin akan mengambil tindakan undang-undang. – 28 November, 2023