KUALA LUMPUR – Tindakan ‘pusingan -U’ oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang, disifatkan hanya mahu ‘menguji’ sejauh mana sokongan ahli parti terhadapnya.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, ini kerana jika jawatan Presiden dipertandingkan sudah pasti perpecahan tidak dapat dielakkan.
“Memang kita tahu dalam Bersatu pun ada persaingan, mereka pastinya hendak tawarkan diri jadi Presiden, seperti Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Azmin Ali, manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pasti rasa tersisih, sebab kurang perhatian diberikan kepadanya sedangkan dia timbalan presiden.
“Kita dapat lihat sekiranya Muhyiddin tinggalkan parti, kemungkinan perpecahan berlaku dalam Bersatu itu tidak dapat ditolak, berlaku persaingan terbuka dalam kalangan pemimpin yang disebut tadi untuk mengambil jawatan Presiden yang mana ia akan menyebabkan kejatuhan Bersatu.
“Tidak tahu sejauh mana hasrat Muhyiddin untuk berhenti, alasan isteri (hingga buat pusingan U) hanya alasan politik, ia lebih kepada nak usul Bersatu jangan berpecah,” katanya kepada Scoop hari ini.
Semalam, Muhyiddin membuat ‘pusingan u’ apabila menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan Bersatu akan datang selepas sehari sebelumnya menyuarakan hasrat untuk tidak bertanding.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat restu daripada isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Tambah Azizuddin, Muhyiddin juga dilihat tidak agresif seperti dahulu dengan pergerakannya pun agak ‘slow down’.
“Beliau tua sedikit sahaja daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, tapi Anwar nampak cergas dan aktif.
Anwar dilihat sangat menjaga kesihatan serta staminanya dan Muhyiddin akan lalui kes mahkamah, jadi dari segi mental akan keletihan.
“Mungkin Muhyiddin bimbang kalau dia lepaskan jawatan, berlaku perpecahan kepada Bersatu, disebabkan perebutan jawatan dalam parti.
Rebut jawatan Presiden ini biasanya akan sebabkan orang tinggalkan parti, buat parti baru dan sebagainya, boleh jadi ke arah ini,” katanya.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, apabila Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden, sudah ada tanda-tanda di peringkat akar umbi bahawa mereka mahukan nafas kepimpinan baharu.
“Itu dapat dibaca Muhyiddin, kerana kebelakangan ini dilihat Bersatu hilang arah tuju kerana masalah kepimpinan dan dengan empat ahli Bersatu menyokong Perdana Menteri.
“Jadi kemungkinan strategi Muhyiddin adalah untuk mendapat simpati dan mengetahui di mana kedudukan beliau sebagai Presiden,” katanya.
Beliau berkata, apabila Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara mahu Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh untuk terus kekal, ia menunjukkan MPT mahukannya meneruskan jawatan namun bagaimana dengan akar umbi.
“Adakah akar umbi mahukan Muhyiddin? Walaupun beliau tarik balik (keputusan) tapi bergantung kepada akar umbi sebenarnya.
“Mulai hari ini hingga pemilihan tahun depan, jika tidak ada desakan akar umbi, Muhyiddin akan kekal mempertahan jawatan Presiden,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Profesor Madya Mazlan Ali berkata, Bersatu akan kehilangan dinamik kepimpinan dan bertambah masalah sekiranya Muhyiddin tidak lagi menjadi nakhoda Bersatu.
Beliau berkata, itu gambaran ramai pihak yang melihat Bersatu tanpa kepimpinan Muhyiddin.
“(Persoalannya) bagaimana kepimpinan Bersatu dapat dibentuk selepas kepimpinan Muhyiddin
“Ada yang membayangkan ada beberapa tokoh yang akan bersaing jawatan tersebut, dibayangkan akan berlaku perpecahan dan sebagainya.
“Apabila dia tarik balik hasrat itu, menunjukkan Bersatu ketandusan pemimpin setara Muhyiddin. Meskipun parti itu ada ramai pemimpin seperti Hamzah, Azmin, Ahmad Faizal, Radzi Jidin, tapi kita nampak jurang yang ada antara Muhyiddin dan yang lain ini terlalu jauh.
“Malah adakah kepimpinan baharu Bersatu mampu mengawal atau memastikan kepimpinan PAS yang juga komponen terbesar dalam PN akan memberikan kerjasama kepada Bersatu,” katanya. – 26 November, 2023