KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan, penambahan bara arang dalam minuman kopi yang semakin menjadi trend ketika ini adalah kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, malah tindakan itu boleh didakwa.
Menerusi kenyataannya, KKM memaklumkan, mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati menghidangkan kopi bersama bara arang, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.
“Kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan peraturan terbabit hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain dan bahan perisa yang dibenarkan.
“Bagaimanapun, penambahan arang tidak dibenarkan sama sekali kerana ia tidak dikategorikan sebagai makanan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Kenyataan itu bagi mengulas laporan Bernama pada 16 November lalu mengenai trend meminum kopi yang dimasukkan dengan bara arang di sebuah kedai makan di sini, sehingga mencetuskan perdebatan netizen di media sosial.
Campuran kopi dimasukkan dengan bara arang atau dipanggil ‘Kopi Joss’ di Indonesia itu, didakwa mempunyai keunikan rasa tersendiri dan dikatakan cara untuk menyingkirkan toksin dari dalam badan.
Namun, trend itu melahirkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan yang didakwa boleh mengundang risiko kanser berikutan sifatnya yang karsinogenik, selain kemungkinan usus tersumbat jika diambil secara kerap untuk tempoh masa lama.
Menurut KKM, bara arang yang dimasukkan secara terus ke dalam minuman kopi adalah berbeza dengan arang diaktifkan.
Katanya, arang diaktifkan yang lazimnya digunakan dalam industri makanan sudah diproses dan ditulenkan, sekali gus selamat digunakan.
“Arang panas yang dimasukkan secara terus dalam kopi seperti ditularkan itu tidak dapat dipastikan, sama ada sudah diproses dengan betul atau selamat untuk dimakan atau diminum begitu sahaja kerana kemungkinan terdapat unsur benda asing atau toksik lain.
“Justeru, sebagai langkah pemantauan, siasatan akan dijalankan selepas KKM mendapat maklumat lengkap premis makanan yang ditularkan,” katanya.
Pada masa sama, KKM menyeru orang ramai yang ingin membuat aduan ke atas mana-mana premis makanan disyaki tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, berbuat demikian di pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat atau menghubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
“Orang ramai dinasihatkan memilih kedai makan atau restoran yang bersih, terutama sudah mendapat pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) daripada KKM,” katanya. – 26 November, 2023