Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Bukit Tinggi banjir lagi, ‘laluan terputus kerana tanah runtuh’: Young Syefura | Scoop

Bukit Tinggi banjir lagi, ‘laluan terputus kerana tanah runtuh’: Young Syefura

Kejadian itu bukan pertama kali berlaku di kawasan sama, malah pernah dilaporkan pada Februari lalu

9:18 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam malam tadi, menyebabkan Bukit Tinggi, Bentong dilanda banjir kilat buruk, sehingga menyaksikan laluan ke kawasan berkenaan ditutup sementara akibat air deras.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, banjir itu melanda di kawasan Balai Polis Bukit Tinggi dan sekitarnya pada kira-kira jam 10 malam.

“Saya sudah menghubungi kementerian dan agensi kerajaan terlibat untuk menjalankan tindakan susulan.

“Saya diberitahu OCS Balai (Polis) Bukit Tinggi bersama anggota sudah berada di lokasi. Bantuan dari Balai Polis Genting Highlands serta Balai Polis Bentong juga diminta ke sana, malah MPV dan polis trafik Bentong juga akan ke lokasi untuk bantu kawal laluan,” katanya menerusi ciapan di Twitter malam tadi.

Beliau turut berkongsi foto dan video memaparkan kejadian itu yang menyaksikan air lumpur deras di kawasan perumahan.

Lebih membimbangkan apabila beliau memaklumkan jalan di Janda Baik terputus akibat tanah runtuh dan pokok tumbang turut menghalang laluan.

Dua jam kemudian, Young Syefura atau lebih dikenali Rara berkata, beliau turun padang ke kawasan berkenaan untuk bertemu penduduk bagi mengetahui keadaan terkini.

“Walaupun air kelihatan surut dan kerja pembersihan sedang dijalankan, air daripada atas bukit masih turun dengan laju,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, kejadian itu bukan pertama kali berlaku di kawasan sama dalam tempoh kurang dua tahun.

Pada 12 Februari lalu, banjir buruk melanda kawasan itu, manakala kejadian terbabit pernah berlaku beberapa bulan sebelumnya.

Justeru, Rara menerusi kenyataan sebelum ini, meminta kerajaan negeri dan Pusat melalui kementerian serta agensi berkaitan, segera menyiasat punca kejadian banjir di situ.

Ujarnya, siasatan itu perlu bagi mengenal pasti sama ada berlaku penerokaan atau pembukaan tanah di bahagian atas bukit, sehingga bencana itu berlaku. – 26 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related