Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
JKM Perak kesan ibu bapa empat beradik ditinggalkan di pondok pengawal | Scoop

JKM Perak kesan ibu bapa empat beradik ditinggalkan di pondok pengawal

JKM juga akan menyemak segala dokumen kerana pelbagai spekulasi tentang kes ini telah dibuat dan JKM tidak mahu mengambil langkah terburu-buru dalam membuat tindakan seterusnya

4:50 PM MYT

 

TRONG – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak sedang mengesan ibu bapa kepada empat beradik yang ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah (MDPT), Seri Iskandar, dua hari lepas. 

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak Nor Tipah Majin berkata pegawai pelindung JKM juga sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut. 

“Setakat ini usaha mengesan ibu bapanya sedang dijalankan termasuk ahli keluarga yang dipertanggungjawabkan menjaga kanak-kanak ini, kita akan buat siasatan lanjut secara mendalam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tinggi di sini hari ini. 

Beliau berkata JKM juga akan menyemak segala dokumen kerana pelbagai spekulasi tentang kes ini telah dibuat dan JKM tidak mahu mengambil langkah terburu-buru dalam membuat tindakan seterusnya. 

Empat kanak-kanak itu katanya juga berada dalam keadaan selamat selain telah menjalani pemeriksaan kesihatan. 

Terdahulu, media melaporkan empat beradik terdiri daripada dua lelaki berusia 11 dan 3 tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan serta kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun ditemukan ditinggalkan di kompleks berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata maklumat berhubung kejadian itu diterima menerusi Pegawai JKM daerah pada 5.39 petang.

Menurut Hafezul Helmi berdasarkan keterangan diberikan, adik-beradik malang itu ditinggalkan di kawasan itu oleh seorang wanita menaiki sebuah kereta jenis Toyota.

Sementara itu, Nor Tipah turut berterima kasih kepada orang ramai yang berkongsikan maklumat sekali gus membolehkan pihaknya bertindak segera terhadap kes berkenaan.

“Saya lihat semua pihak di luar sana memberi tumpuan dan cakna kepada kes ini dan ia menunjukkan sikap yang amat baik masyarakat kita yang prihatin terhadap nasib yang menimpa kanak-kanak ini.

“Namun saya mohon agar diberikan ruang kepada agensi dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab untuk memastikan semua hak dan kepentingan kanak-kanak ini diberi keutamaan,” katanya. – 25 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related