Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kenyataan Sirul tiada asas, liar, boleh cetus lebih banyak spekulasi: KPN | Scoop

Kenyataan Sirul tiada asas, liar, boleh cetus lebih banyak spekulasi: KPN

Dakwaan Sirul tidak pernah dikemukakan kepada mana-mana mahkamah yang mengadili beliau, dari Mahkamah Tinggi sehinggalah di Mahkamah Persekutuan

1:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia melihat kenyataan Sirul Azhar Umar kepada sebuah media antarabangsa berhubung sabitannya dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2009 sebagai tidak berasas dan bersifat kenyataan liar yang boleh menimbulkan lebih banyak spekulasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana Sirul Azhar telah diberikan peluang untuk membela diri selari dengan perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.

“Namun dakwaan beliau (Sirul Azhar) ini tidak pernah dikemukakan kepada mana-mana mahkamah yang mengadili beliau, dari Mahkamah Tinggi sehinggalah di Mahkamah Persekutuan.

“Sekiranya beliau yakin dan merasakan perlu keadilan bahawa terdapat keterangan-keterangan baharu, beliau atau melalui peguamnya, boleh membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang perlu berkaitan dakwaan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai wawancara Sirul Azhar oleh sebuah media antarabangsa yang disiarkan di televisyen baru-baru ini.

Razarudin berkata, sehingga kini Sirul Azhar masih belum membuat sebarang permohonan untuk membuat semakan ke atas hukuman mati yang dihadapinya selari dengan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan 2023 [Akta 847] yang memberi tempoh selama 90 hari untuk mana-mana pesalah hukuman mati membuat semakan bermula dari tarikh 12 September 2023.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai isu pembebasan Sirul Azhar daripada tahanan di Australia, Razarudin berkata, Malaysia memang mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Australia.

“Bagaimanapun, hukuman mati yang dikenakan ke atasnya menyebabkan Sirul Azhar tidak dapat di ekstradisi ke Malaysia.

“Ini kerana Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati ke atas pesalah jenayah di negara mereka,” katanya.

Menurutnya salah satu syarat perjanjian ekstradisi boleh dilaksanakan ialah kesalahan itu mestilah mempunyai Dual Criminality.

Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai Mutual Legal Assistance (MLA) dengan banyak negara termasuk Australia menerusi Mutual Assistance In Criminal Matters Act (MACMA 2002).

“Namun prinsip Dual Criminallity juga terpakai dalam akta ini. Ini bermaksud satu kesalahan mestilah menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang juga membawa hukuman yang sama.

“Perkembangan undang-undang terbaru di Malaysia hanya menghapuskan hukuman mati mandatori. Ini bermakna hukuman mati masih wujud di Malaysia tetapi tidak lagi menjadi mandatori sebaliknya mengikut budi bicara Mahkamah,” katanya.

Berikutan perkembangan undang-undang itu, mana-mana pesalah jenayah yang telah dijatuhi hukuman mati dan masih menunggu proses pelaksanaan hukuman itu, boleh diberi peluang untuk membuat permohonan kepada mahkamah untuk meminda dan merayu kepada hukuman mati itu.

“Sekiranya Sirul Azhar berhasrat untuk balik ke Malaysia, beliau atau peguam boleh membuat permohonan agar hukuman mati dipinda kepada hukuman lain seperti hukuman pemenjaraan.

“Jika ini berlaku, barulah Malaysia boleh mengemukakan permohonan ekstradisi untuk beliau menjalani hukuman di Malaysia,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilapor berkata, polis masih mengekalkan nama Sirul Azhar Umar dalam notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) walaupun dia telah dilepaskan dari tahanan imigresen Australia.

Menurutnya setakat ini tiada arahan dikeluarkan oleh mana-mana pihak untuk mengeluarkan nama Sirul Azhar yang sebelum ini disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, daripada notis itu. – 25 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related