KUALA LUMPUR – Bekas anggota Unit Tindakhas (UTK) Sirul Azhar Umar yang sebelum ini disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu pada 2006, masih di bawah notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis masih meneliti dan mencari penyelesaian untuk membawa pulang Sirul Azhar kembali ke negara ini.
“Sirul dalam satu kenyataan terbaru kepada media antarabangsa Al-Jazeera, menyatakan dia ingin terus menetap di Australia namun notis merah terhadapnya masih diteruskan. Namanya masih disenaraikan di bawah notis merah Interpol.
“Kami masih mengkaji kaedah untuk membawa pulang Sirul dan kini ia di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Terdahulu, Sirul Azhar dalam temubual bersama Al-Jazeera yang disiarkan hari ini menyatakan, dia mahu meneruskan kehidupan di Australia kerana beranggapan dirinya tidak selamat jika kembali ke tanah air.
Beliau juga turut memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaaribu.
Media sebelum ini melaporkan, Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara berkenaan, iaitu sejak 2015.
Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November lalu yang memutuskan, tahanan bukan warganegara tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya pihak imigresen.
Sirul Azhar yang berpangkat Koperal bersama Cif Inspektor Azilah Hadri ditangkap, sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya pada November 2006.
Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya.
Namun, kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.
Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas serta dibebaskan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pendengaran rayuan berlangsung pada 23 Jun 2014.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.
Sirul Azhar meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes itu masih dalam rayuan dan tidak pulang ketika hukumannya dijatuhkan Mahkamah Persekutuan. – 24 November, 2023