KUALA LUMPUR – PAS didakwa tidak melaksanakan perkara sepatutnya dilakukan parti itu ketika berkuasa sebelum ini, malah hanya leka dengan kedudukan sebagai menteri atau jawatan dipegang di peringkat kerajaan Pusat.
Mantan Exco Selangor, Yaakob Sapari mendakwa, ketika PAS berkuasa, mereka merekodkan perkhidmatan lebih buruk, berbanding Kerajaan Perpaduan, selain tidak menyiap dan membereskan kerja.
Namun, katanya, apabila sudah hilang kuasa, PAS menuduh pemimpin kerajaan semasa tidak menjaga Islam.
Malah, ujarnya, parti itu mengatakan kerajaan tidak memberi peruntukan kepada pembangkang dan sebagainya.
Justeru, beliau mengingatkan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, tidak termakan propaganda PAS mencela atau mempersoalkan setiap tindakan Kerajaan Perpaduan, kononnya didakwa tidak Islamik dan menzalimi rakyat.
“Saya nak share (kongsi), satu hari saya bercuti di sini (Kemaman). Duduk di hotel Awana Kijal. Elok saya sampai (tiba) Maghrib, saya nampak kereta Menteri. Rupanya Timbalan Presiden PAS (Tuan Ibrahim), saya jumpa dia.
“Saya kata, datuk nak buat apa pun datuk buatlah ketika ada kuasa. Nak pinda akta, pindalah. Nak jadikan istilah royalti (bagi Terengganu dan Kelantan) satu yang wajib masuk dalam Perlembagaan, buatlah.
“Rupa-rupanya, 33 bulan jadi kerajaan apa pun tak dibuat. Saya pernah jadi exco. Nak ubah, ubah waktu ada kuasa. Tetapi dia (PAS) syok jadi Menteri, apa pun tak dibuat. Bila tak ada kuasa, hari ini menjerit kenapa tak dibuat (kerajaan semasa)?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kemaman malam tadi seperti dilaporkan Suara Keadilan.
Yaakob berkata, PAS tidak sewajarnya memperkecilkan program atau skim diperkenalkan Kerajaan Perpaduan kerana usaha itu berjaya meringankan beban hidup rakyat.
“Kita (Kerajaan Perpaduan) baru genap setahun. 12 bulan. Dia 33 bulan tak buat apa-apa. Saya jumpa SUPOL (Setiausaha Politik) dia di surau Dewan Negara. Saya kata YB nak tukar istilah, tukar sekarang. Biar perkataan dalam bajet (peruntukan) itu jelas. Tetapi apa pun tak dibuat.
“Berhimpun di Kuala Lumpur menangis-nangis berdoa RUU 355. Jadi kerajaan apa pun tak buat. Ini berhimpun lagi, apa pun tak dibuat,” kata Yaakob mempersoalkan isu hukum hudud. – 24 November, 2023