KUALA LUMPUR — Keterujaan orang ramai dengan konsert Coldplay di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini mendorong segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyunting gambar penyanyi kumpulan itu, Chris Martin.
Mereka menyunting gambar seolah-olah Chris mengunjungi restoran nasi kandar, Saddam di ibu kota dan dimuatnaik dalam platform X (dulu dikenali sebagai Twitter).
Ciapan tersebut dimuatnaik sejak tengah hari tadi dan meraih lebih 80,000 tontonan.
Bagaimanapun ia rupa-rupanya palsu, malah jurucakap Restoran Nasi Kandar Saddam turut menafikannya.
“Gambar yang tular itu tipu dan palsu,’’ kata jurucakap restoran berkenaan di Jalan Esfahan, di sini, hari ini, ketika dihubungi Scoop.
Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. – 22 November, 2023