KUALA LUMPUR – Biarpun sukar berjalan dan terpaksa menggunakan tongkat lengan akibat patah kaki, ia tidak menghalang seorang peminat tegar Coldplay hadir ke konsert kumpulan rock dari Britain itu yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Menurut peminat wanita dikenali Jolene itu, dia mengalami patah kaki pada bulan lalu akibat satu insiden.
“Biarpun kaki saya patah, sebagai peminat tegar Coldplay, saya mesti hadir juga untuk menyaksikan konsert pertama mereka di Malaysia,” katanya kepada Scoop.
Berasal dari Kuala Lumpur, Jolene berkata, dia ke konsert itu ditemani ibunya yang turut teruja menyaksikan persembahan bakal berlangsung 9 malam ini.
Menerusi pemerhatian, peminat Coldplay mula membanjiri pekarangan stadium berkenaan seawal 9 pagi tadi untuk beratur dan mendapatkan gelang tangan, iaitu pas masuk menyaksikan konsert berkenaan.
Kaunter untuk menebus gelang tangan kertas itu hanya dibuka mulai jam 12 tengah hari.
Terdahulu, Coldplay yang mencatat rekod sebagai antara kumpulan yang berjaya menjual tiket terbanyak dan terlaris di dunia, dilaporkan tiba di Malaysia awal pagi semalam bagi menjayakan siri konsert dinamakan Coldplay: Music of The Spheres World Tour itu di negara ini.
Susulan penganjurannya, orang ramai diingatkan supaya menjaga tatasusila, termasuk tidak melakukan provokasi dan mengelak daripada mencetuskan kekacauan semasa atau selepas persembahan konsert.
Ketua Polis Cheras, Asistan Komisioner Zam Halim Jamaluddin menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas ke atas apa-apa pelanggaran undang-undang sempena penganjuran konsert berkenaan.
Beliau berkata, sebagai pihak berkuasa, PDRM juga sudah membuat persiapan rapi, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
Katanya, persiapan itu bukan sahaja membabitkan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi, malah kelancaran lalu lintas. – 22 November, 2023