KUALA LUMPUR – Sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar tanpa sistem penilaian berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Malah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, salah satu faktor pencapaian ujian kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) rendah adalah disebabkan tiadanya UPSR.
“Tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR, sukar untuk menilai pencapaian dan potensi sebenar pelajar dan salah satu faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah juga disebabkan tiadanya UPSR,’’ katanya dalam hantaran di Facebook.
UPSR telah diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima.
Bagaimanapun pada April 2021, Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Radzi Jidin telah memansuhkan peperiksaan terbabit susulan krisis Covid-19.
Pada Oktober lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa bagi menjadikan peperiksaan itu sebagai penanda aras pencapaian anak mereka.
Beliau berkata, sebaliknya Kementerian Pendidikan sedang memfokuskan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum persekolahan baharu, demi memastikan pendidikan masa depan lebih kukuh.
“Sekarang kita nak beri tumpuan kepada pentaksiran holistik kepada anak-anak kita, khususnya pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya karakter (murid dan pelajar) diperkukuhkan,” katanya. – 22 November, 2023