KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang menggunakan notis petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid sebagai senjata politik untuk mengaitkannya tidak peduli dengan perundangan syariah di negara ini.
Tegasnya, walaupun baru sahaja menerajui kerajaan selama setahun, beliau mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti aspek bagi meningkat bidang kuasa syariah seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Ogos lalu.
“Saya tidak ada pemasalahan dan bawa kes ini supaya rakyat memahami dan mengetahui bahawa harus ada peningkatan bidang kuasa mahkamah syariah. Tapi saya kesal kerana ada percubaan untuk mengalih seolah-olah itu tindakan Kerajaan Perpaduan sekarang.
“Mimpilah kalau nak ambil alih kerajaan sekarang ini. Kerajaan sekarang sangat kuat… dua pertiga (majoriti). Baik… kalau orang tanya dah kuat (ke) dua pertiga? Mengapa tak kuat, inilah yang kita lakukan (tubuh jawatankuasa).
“Jadi jangan gunakan ruang mengatakan tidak ada (usaha dilakukan). Tidak munasabah untuk kita panaskan suhu politik dan kebencian. Tengok dalam media sosial, maknanya Perdana Menteri tak peduli syariah Islam tapi jawatankuasa sudah dibentuk,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) yang ingin tahu pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung Notis Petisyen yang difailkan Nik Elin Zurina dan anaknya yang dilihat usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu dalam pendengaran petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan untuk melemahkan kuasa Mahkamah Syariah tetapi ia berhubung kompetensi kerajaan negeri itu dalam menggubal undang-undang.
“Saya tegaskan ini kerana ada percubaan nak laga-lagakan seolah-olah kita menentang. Di mana kita menentang? Kes ini diputuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dicabar Nik Elin bertentangan dengan Mahkamah Persekutuan.
“Maknanya DUN, Parlimen, Perdana Menteri tak boleh buat keputusan dan bawa ke mahkamah. Dan sekarang ke Mahkamah Persekutuan pada 25 Mei tahun lalu. Siapa perintah, siapa Perdana Menteri? Siapa menteri undang-undang ketika itu? Sekarang semua dibeban kepada kita.
“Jadi sebab itu harus ada rundingan. Mengapa tidak ada rundingan pada 2020, 2021? Tanya menteri pada waktu itu, jangan tanya saya. Saya jadi Perdana Menteri, kita tubuh jawatankuasa kerana melibatkan semua negeri harus ada ruang mereka mengkaji,” katanya.
Justeru, beliau berkata, Badan Kehakiman seharusnya diberikan sepenuh kebebasan untuk memutuskan isu keesahan undang-undang yang dicabar tersebut.
Semalam Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan, isu dalam pendengaran petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan mengenai memburuk-burukkan agama Islam atau melemahkan kuasa Mahkamah Syariah.
Tengku Maimun yang mempengerusikan panel sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan, berkata, isu yang timbul melalui sebahagian daripada petisyen itu adalah sama ada DUN mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan.
Dianggarkan kira-kira 1,000 orang hadir Himpunan Selamatkan Syariah dan sertai solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman, di Putrajaya, pagi semalam.
Perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) itu bagi membantah tindakan Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Mereka mahu mengisytiharkan peruntukan-peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.
Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).
Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual). – 21 November, 2023