KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 membabitkan unsur nadir bumi (REE).
Tertuduh, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Suzana Hussin pagi ini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Hilmi meminta dan menerima suapan wang tunai masing-masing berjumlah RM250,000 dan RM150,000 daripada Pengarah REE Mining Group Sdn Bhd, iaitu Liana Mamat @ Khalid.
Suapan diminta melalui seorang lelaki dikenali sebagai Syed Muhammad Syed Aluvi itu, adalah sebagai dorongan kepada Mohamad Hilmi yang menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi ketika itu.
Wang itu dikatakan untuk membantu kumpulan perlombongan terbabit mendapatkan kelulusan diperlukan berhubung lesen perlombongan dan penerokaan REE di Kedah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A, Taman Sri Hartamas, di sini dan sebuah restoran di Desa Sri Hartamas pada 4 dan 11 Julai tahun ini.
BERITA LANJUT MENYUSUL