Perkhidmatan e-pembelajaran yang disediakan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Soeharto, di Hulu Selangor mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan murid-murid yang teruja untuk mengikuti perkembangan program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Murid Tahun Dua Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Soeharto, Iman Zul Fitri Effendi berkata, dia kini lebih memahami cara penggunaan komputer hasil penyediaan program e-pembelajaran di PEDi itu.
“Saya dapat belajar mengenali penggunaan papan kekunci, belajar menaip dan menulis dengan cepat.
“Seminggu sekali saya datang ke PEDi, dan paling mengujakan dapat belajar sekali dengan kawan-kawan, tempat juga selesa,” katanya ketika ditemui di PEDi Felda Soeharto baru-baru ini.
Seorang lagi murid, Syahmi Rifqi Shamsul Khairi, 8, berkata dia mengambil masa dua hari untuk mempelajari penggunaan papan kekunci di PEDi.
“Saya belajar menaip, ia agak senang, dua hari saya dah pandai, taip dan eja perkataan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus PEDi Felda Soeharto, Nurhasni Haizan Hasmadun berkata, e-pembelajaran disediakan di PEDi mula beroperasi sejak 2013 dan terbuka kepada semua murid serta pelajar untuk memanfaatkannya.
“Biasanya kami lebihkan kepada kemahiran menaip bagj murid, pembelajaran digital dan e-tuisyen.
“Mula-mula murid ini kebanyakannya tidak tahu untuk menggunakan komputer, bila kerap buat bengkel ICT, e-pembelajaran, daripada situ kita boleh nampak pelajar boleh uruskan sendiri.
“Mereka belajar macam mana hendak menaip, nak cari sesuatu menerusi enjin pencarian seperti Google, lebih mengenali komputer dan cara penggunaannya,” katanya.
Beliau berkata, terdapat 20 komputer di PEDi terbabit dan setakat ini mencukupi untuk kegunaan semua di sini
“Sesiapa pun boleh datang sahaja untuk guna. Cuma kalau bengkel sedang berjalan, penggunaan terhad di mana hanya 10 peserta dibenarkan untuk menggunakan komputer,” katanya.
Ditanya cabaran dihadapi dalam mengadakan bimbingan e-pembelajaran, beliau berkata pihaknya sendiri perlu lebih berusaha dan mengajar serta memberi kefahaman kepada murid.
“Kami sendiri kena lebih mengajar dan pastikan murid ini semua faham apa yang kami ajarkan dan hendak sampaikan
“Kami juga berusaha membuat kertas makluman untuk memastikan murid atau pelajar terus tertarik untuk berkunjung PEDi ini.
“Kebiasaannya setiap kali cuti sekolah, kesempatan itu akan digunakan untuk mengadakan kelas bimbingan e-pembelajaran,” katanya.
Selain program sesi pengajaran dan pembelajaran kepada murid sekolah, PEDi turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain termasuk keusahawanan, perkhidmatan fotokopi, kurier dan pusat komuniti setempat.
Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi memperkasa peranan PEDi untuk membantu masyarakat setempat. – 21 November, 2023
@scoopdotmy Perkhidmatan e-pembelajaran yang disediakan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Soeharto, di Hulu Selangor memberikan manfaat sepenuhnya kepada pelajar sekolah. Ia memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami penggunaan komputer dan masa cuti dimanfaat sepenuhnya dengan kelas komputer. #PEDi #FeldaSoeharto #usahawanmuda #BeritaTikTok #ekonomimalaysia #pusatekonomidigital ♬ original sound – Scoopdotmy