KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang sebelum ini terkandas di Gaza berkongsi pengalaman luar biasa semasa pergi ke sebuah hospital untuk proses pengecaman mayat salah seorang ahli keluarga suaminya, Mohamed A M Shaat, 33, yang syahid dalam konflik Israel-Palestin.
Menurutnya, sewaktu berada di hospital tersebut, ada lebih 10 mayat orang awam yang maut dalam serangan dilancarkan rejim Zionis dan angka itu bertambah dari semasa ke semasa.
Melihat keadaan mayat yang berlumuran darah, Nurul Ain berkata, dia terpaku seketika apabila semua jenazah yang berada di situ berbau wangi.
“Dengan (mayat) berdarah-darah, tiada sedikitpun bau hanyir, tiada sedikitpun bau darah, malah berbau wangi. MasyaAllah kerana mereka syahid. Subhanallah.
“Jadi, di situ saya tahu MasyaAllah betapa hebatnya syahid ini. Jadi saya dan suami pulang ke rumah sebab masih tak jumpa mayat (adik kepada abang ipar suami).
“Sampai di rumah barulah kami dapat khabar dia syahid. Masa tu semangat saya turun kerana dia orang paling dekat dengan saya,” katanya ketika sesi dialog ‘Gaza dihatiku’ di Surau Al Mukarramah Taman Seri Keramat di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Nurul Ain yang bekerja sebagai pembantu doktor gigi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, semangatnya kembali pulih selepas melihat anak buahnya sendiri tidak menangis dengan kehilangan itu.
“Saya menangis. Saya cakap kat suami saya takut. Suami kata, jangan takut dia syahid. Anak buah saya, mereka sendiri tidak menangis. Mana mereka dapat kekuatan itu. Mereka kata aunty Nur jangan sedih sebab aunty Fadia sudah berbahagia di Jannah.
“Saya kata MasyaAllah mereka sangat kuat. Alhamdulillah. Tiga hari sebelum (meninggal) saya ada berjumpa dia, dia memasak untuk saya. Selepas itu kita dapat tahu dia syahid. Kami pergi ke tempat kejadian. Rumah dia musnah sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Ain berkata, dia dan suami akan meneruskan usaha membantu penduduk di Gaza dengan cara menyalurkan wang tunai hasil sumbangan orang ramai.
Katanya, wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun bank abang ipar yang berada di Gaza sebelum diagihkan secara terus kepada penduduk terjejas.
Nurul Ain berkata, kaedah itu lebih efektif berbanding mengagihkan bantuan barang keperluan seperti makanan kerana berisiko disekat dalam tempoh lama di sempadan Rafah.
“Malah sekatan oleh tentera Israel akan menyebabkan bantuan berbentuk barangan tidak dapat disalurkan secara menyeluruh.
“Jadi saya dan suami cuba mencari solusi lain untuk bantu mereka dan Alhamdulillah kami bersetuju untuk memberikan bantuan secara wang tunai.
“Abang ipar akan uruskan di sana. Tapi buat masa sekarang, kami belum boleh berbuat apa-apa kerana tidak dapat berhubung dengan mereka. Sudah tiga hari kami terputus hubungan,” katanya.
Terdahulu, pasangan itu berkongsi dengan tetamu yang hadir mengenai pengalaman mereka ketika terkandas di Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Nurul Ain dan Mohamed menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun berkunjung ke Khan Younis, Gaza buat pertama kali pada 1 Oktober lalu selepas hampir enam tahun mendirikan rumah tangga untuk bertemu keluarga mentua.
Mereka dibawa keluar dari Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir dan tiba di tanah air dengan penerbangan Qatar Airways dari Doha, Qatar, pada Selasa lalu. – 18 November, 2023