KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Mohammad Agus Yusoff sudah membuat laporan polis berhubung klip panggilan video antaranya dan seorang lelaki lain yang tular di media sosial, dengan berkata perbualan lucah antara mereka telah disunting.
Beliau berkata demikian pada sidang media malam ini susulan peletakan jawatannya secara mengejut semalam.
Agus menafikan perbualan lucah yang kononnya berlaku dan menegaskan ia telah disunting.
Sebaliknya, beliau dan seorang penolong pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang menyertai agensi itu pada 1 November lalu, berbual “biasa”.
Wahab yang turut hadir pada sidang media tersebut malam ini berkata, panggilan video yang dibuat menerusi aplikasi WhatsApp, dirakam untuk “menjatuhkan” Agus.
Dia turut mengakui ditawarkan jawatan lebih tinggi dalam agensi itu untuk berbuat demikian, dan diarahkan merakam panggilan video tersebut oleh ‘Mr H’ yang berjawatan tinggi di J-Kom.
Agus berkata, beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, petang tadi.
Bagaimanapun, Wahab pula sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis dalam tempoh beberapa hari akan datang. – 17 November, 2023