KUALA LUMPUR – Parti politik boleh mengambil tindakan untuk menyenaraikan kesalahan yang boleh menyebabkan keahlian anggotanya tergugur secara automatik tanpa perlu melibatkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti 2022.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana sebarang cadangan pindaan hanya dibuat sekiranya RUU itu didapati mempunyai kelompangan.
“Namun Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti 2022 yang diluluskan itu adalah yang paling sesuai mengikut kepentingan negara setelah dibuat kajian yang teliti serta proses perbincangan dan libat urus yang intensif dan komprehensif dengan semua pihak berkepentingan.
“Pindaan Rang Undang-Undang juga memakan proses masa yang panjang dan perlu mendapatkan kelulusan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat,’’ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini mencadangkan supaya Akta Lompat Parti diteliti semula kerana wujud kelemahan susulan tindakan empat Ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan.
Empat Ahli Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik.
Wan Junaidi berkata, draf pertama telah dibuat selepas melalui beberapa kali proses perbincangan dan libat urus bersama bersama pemimpin-pemimpin parti, Ahli Parlimen di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, golongan akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga pelbagai kesatuan masyarakat.
Malah, katanya penjelasan turut diberikan sebanyak empat kali kepada Jemaah Menteri sepanjang bulan September 2021 hingga bulan Mac 2022 namun draf tersebut masih tidak mendapat persetujuan sebulat suara daripada mereka, khususnya klausa mengenai bertukar parti, ingkar kepada arahan parti dan tidak mengikut arahan Whip Parti di Parlimen.
Akhirnya draf pertama itu ditolak oleh Jemaah Menteri pada bulan April 2022.
Menurutnya, pada 28 Julai 2022, Gobind Singh Deo dan Khalid Abdul Samad turut menyarankan agar klausa yang telah dibuang daripada draf pertama iaitu klausa yang membenarkan setiap parti untuk menangani sendiri ahli-ahli parti yang ingkar kepada kepimipinan parti, ingkar arahan Whip Parti di Parlimen, dan kesalahan ahli lompat parti dimasukkan ke dalam perlembagaan parti sendiri. – 17 November, 2023