PUTRAJAYA – Pembunuh penyanyi era 90-an, Along Spoon iaitu Mohamed Ya’acob Ya’cob Demyati yang terlepas hukuman penjara sepanjang hayat dibebaskan dari Penjara Kajang, hari ini.
Peguam bela Mohamed Ya’acob, Che Muji Che Noh berkata, pembebasan itu susulan anak guamnya sudah selesai menjalani hukuman penjara selama 33 tahun.
“Aspek kelakuan baik anak guam memang ada dalam rayuan saya, dan itu faktor yang mahkamah ambil kira berhubung hukuman.
“Mengikut undang-undang, hukuman adalah penjara antara 30 hingga 40 tahun dan atas rayuan itu, anak guam dikenakan penjara selama 33 tahun.
“Penjara selama 33 tahun itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan (anak guam) pada 4 Januari 2000. Maknanya, dia sudah selesai menjalani hukuman penjara selepas tolak cuti… itu undang-undangnya,” katanya seperti dilaporkan BH.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada pemenjaraan selama 33 tahun, ke atas Mohamed Ya’cob, 57.
Keputusan pindaan secara sebulat suara itu diputuskan panel lima hakim dipengerusikan, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan permohonan semakan Mohamed Ya’acob, 57 selaku pemohon.
Empat lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah; serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Pada prosiding hari ini, Mohamed Ya’cob antara 12 individu terlepas hukuman mati atau penjara sepanjang hayat, selepas Mahkamah Persekutuan memindanya kepada penjara 30 tahun dan ke atas serta sebatan.
Bagaimanapun, Mohamed Ya’acob yang juga bekas anggota polis terlepas hukuman sebatan atas faktor usia 50 tahun dan ke atas.
Berdasarkan Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah 2007, pesalah wanita, individu yang dijatuhi hukuman mati dan pesalah berumur lebih 50 tahun, tidak boleh dikenakan sebatan.
Pindaan hukuman tersebut dibuat susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) pada 4 Julai lalu.
Sebelum ini, Mohamed Ya’cob dikenakan hukuman mati, namun diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya.
Mengikut pertuduhan Mohamed Ya’acob yang ketika itu bertugas di cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dituduh membunuh Along atau nama sebenarnya Sabi’ul Malik Shafiee, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada jam 1 pagi, 26 Disember 1999.
Sebelum ini, Along dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999.
Polis kemudiannya menjumpai rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000. – 16 November, 2023