SEPANG – Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, dan suaminya warga Palestin, Mohamed AM Shaat, 33, yang terkandas di Gaza sejak sebulan lalu, selamat tiba di tanah air pada jam 8.55 malam ini.
Ketibaan pasangan itu di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut ibu bapa Nurul Ain iaitu Haron Hamim dan Mastura Yusof serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin.
Ketika ditemui media, Nurul Ain berkata, pada mulanya dia dan suami keberatan untuk pulang ke tanah air namun disebabkan keadaan di Gaza semakin meruncing, mereka terpaksa berbuat demikian.
Dalam keadaan sebak, Ain turut mendoakan agar semua ahli keluarga suaminya akan sentiasa dilindungi Allah SWT.
“Alhamdulillah, sebenarnya saya dan suami pada mulanya kami tak nak keluar sebab keluarga berada di sana tapi keadaan jadi semakin buruk, luar biasa yang lebih (teruk) dari (konflik) tahun 2014.
“Dekat sana not easy… jadi saya dan suami kata kita kena keluar, kena kerja. Kalau tak sambung kerja, macam mana nak sara keluarga.
“Kami keluar dengan Bismillahirrahmanirrahim, kami serahkan mereka dalam jagaan Allah,” katanya.
Nurul Ain dan suaminya sebelum ini dibawa keluar dari kawasan konflik Gaza melalui lintasan sempadan Rafah, pada 2.23 pagi, 13 November.
Kementerian Luar memaklumkan, tindakan evakuasi ini dapat dilaksanakan hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Mesir, Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan Anwar ke Mesir pada 23 Oktober lalu.
Pasangan suami isteri itu menjejakkan kaki ke Gaza pada 1 Oktober lalu untuk bertemu dengan keluarga Mohamed selepas sembilan tahun tidak bertemu.
Dalam pada itu, Nurul Ain turut menzahirkan penghargaannya kepada Anwar yang telah membantu dalam misi membawanya pulang ke tanah air.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Duta Malaysia di Kaherah dan Wisma Putra,” katanya.
Menceritakan keadaan di Gaza, Nurul Ain berkata dia tidak pernah putus harapan walaupun kekurangan sumber bekalan asas sepanjang berada di sana.
Malah, Ain turut melalui pengalaman menyedihkan apabila menyaksikan sendiri mayat beberapa ahli keluarga suaminya yang terkorban akibat dibedil bom Zionis.
“Saya tidak (pernah putus harapan) tapi ada ahli keluarga sendiri yang syahid. Tiga tiga hari sebelum itu saudara tersebut memasak untuk kami tetapi selepas itu rumahnya dibom, Bukan satu, tapi lapan peluru, muka pun sampai tak nampak,” katanya.
Sementara itu, Haron bersyukur kerana anak dan menantunya selamat pulang dari kawasan bergolak.
“Duta Malaysia ke Mesir begitu mengambil berat tentang Nurul Ain dan sentiasa mencari jalan dan untuk berhubung dengan dia. Alhamdulillah dengan kerja yang begitu cemerlang maka Nurul Ain berjaya dikeluarkan dari situ,” katanya. – 14 November, 2023
@scoopdotmy Nurul Ain dan suaminya, warga Palestin, Mohamed AM Shaat yang terkandas di Gaza, selamat tiba di tanah air pukul 8.55 malam tadi. 📹 Abdul Razak Latif #Gaza #Palestine #freepalestine #Malaysia #palestinewillbefree ♬ original sound – Scoopdotmy