Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kisah pemuda ditipu ‘bakal isteri’ didakwa ada plot twist, beberapa individu tampil bersuara, ‘ini bukti…’ | Scoop

Kisah pemuda ditipu ‘bakal isteri’ didakwa ada plot twist, beberapa individu tampil bersuara, ‘ini bukti…’

Bapa wanita itu dipercayai dipaksa merahsiakan statusnya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Beberapa individu tampil mempertahankan seorang pemuda yang didakwa diperdaya tunangnya yang sepatutnya dinikahinya pada 10 November lalu selepas seorang wanita mendakwa lelaki tersebut sengaja mereka-reka cerita mengenai kisah sedih menimpanya.

Lebih mengejutkan, wanita tersebut turut mendakwa pemuda dikenali sebagai Aiman itu mempunyai masalah mental, selain memalsukan beberapa maklumat termasuk resit homestay yang dikongsinya di Facebook.

Seorang wanita mendakwa pemuda bernama Aiman sengaja mereka-reka cerita mengenai kisah sedih menimpanya – Tangkapan layar Facebook, 14 November, 2023

Hantaran wanita tersebut yang tular di media sosial bagaimanapun mendapat perhatian Pipus Daro, pemilik sebuah homestay yang ditempah Aiman dan keluarganya untuk majlis pernikahan di Daro, Mukah.

Menurutnya, resit penginapan itu tulen dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Aiman dan keluarganya memang menginap di homestay berkenaan.

Pipus Daro, pemilik sebuah homestay yang ditempah Aiman dan keluarganya untuk majlis pernikahan di Daro, Mukah tampil untuk mengesahkan bahawa resit yang dikongsikan adalah tulen – Tangkapan layar Facebook, 14 November, 2023

“Maaf, saya pemilik homestay itu. Bukan palsu seperti yang awak boleh berkarya dan awak boleh karang.

“Rakaman CCTV mereka menginap dan perbualan pun ada. Janganlah pandai-pandai kata benda tu (resit) palsu dan direka. Hairan saya.

“Saya ada salinan (resit). Sila PM (mesej) saya siapa yang kata resit itu palsu,” tulisnya di Facebook.

Pada masa sama, seorang wanita yang mendakwa mengubah hantaran bakal pengantin itu turut tampil bersuara, dengan menafikan insiden itu berlaku lapan tahun lalu.

“Ini bukti barang hantaran, saya gubah untuk majlis akad nikah Aiman. Takkan benda ni lapan tahun lepas seperti dikata orang. Senang je.

“Tengoklah laporan polis tarikh tu bila. Takkan nak buang masa pergi jauh-jauh sekadar nak buang masa. Bayangkan Kuching ke Daro berapa jauh? Orang Sarawak je tahu.

“Rasanya belum bodoh lagi kami yang saja-saja nak memalukan diri sendiri. Fikir-fikirlah. Logik tak,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook dipercayai adik kepada Aiman turut berkongsi beberapa gambar wanita tersebut bersama abangnya.

“Plot twist? Cerita lapan tahun lepas? Ini bukti! Setiap gambar ada tarikh. Lapan tahun lepas ada Covid-19.

“Abang saya lapan tahun lepas umur 20 tahun. Kalau ada akal yang waras boleh fikir mana betul mana salah,” katanya.

Dalam pada itu, kakak ipar kepada mangsa turut mendakwa sepanjang pasangan itu berkawan, wanita tersebut menggunakan nama Nur Hanie Natasya.

Malah dakwanya, wanita itu terpaksa menggunakan akaun bank kakaknya, Normahaini Maharam kerana dikenakan tindakan tatatertib selama dua tahun.

Bagaimanapun, dakwanya nama pada akaun tersebut sebenarnya milik wanita tersebut.

Kakak ipar kepada mangsa turut mendakwa sepanjang pasangan itu berkawan, wanita tersebut menggunakan nama Nur Hanie Natasya – Tangkapan layar Facebook, 14 November, 2023

“Sebab itu tak pelik kenapa adik ipar saya tak perasan nombor akaun tu dah terang-terang nama dia. Dan sebab itu dah ditulis siap-siap dalam kapsyen di bawah banyak lagi benda dia tipu.

“Tapi kami tak berupaya nak perjelaskan satu persatu. Harap semua faham. Pasal urusan nikah itu memang wanita itu yang mati-mati nak urus (sendiri). Bukan tak ambil tahu. Sudah diminta dokumen tapi diberitahu sudah diuruskan,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki dipercayai sepupu kepada bakal pengantin perempuan mendakwa wanita terbabit memaksa bapanya untuk merahsiakan statusnya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Seorang lelaki dipercayai sepupu kepada bakal pengantin perempuan mendakwa wanita terbabit memaksa bapanya untuk merahsiakan statusnya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak – Tangkapan layar Facebook, 14 November, 2023

“Bapa dia tak tahu apa-apa… ikut dia saja. Sebab dia paksa bapanya untuk tutup mulut. Kami malu dengan perangai sepupu kami ini.

“Kami pun tak tahu perangai dia. Malu kami dihentam orang disebabkan perangai dia,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook yang tular sejak semalam, seorang lelaki mendakwa mengenali wanita yang juga anggota badan beruniform bertugas di selatan tanah air sejak 2021.

Mereka dipercayai melangsungkan pertunangan pada 12 Oktober tahun lepas di Kuching, Sarawak.

Menurut lelaki itu, mereka sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah pada Jumaat lalu dan majlis persandingan pada Sabtu (11 November) di rumah pengantin perempuan di Matu, Mukah.

Pada hari sepatutnya berlangsung akad nikah, dia bersama rombongan seramai 22 orang tiba di rumah pengantin perempuan tetapi hairan kerana tiada tanda-tanda persiapan majlis dibuat sebaik tiba di lokasi.

Mangsa kemudiannya cuba menghubungi calon isteri yang berusia 30 tahun dan juga bapanya namun gagal.

Adakah ini Nur Hanie Natasya atau Normahaini Maharam? – Tangkapan layar Facebook, 14 November, 2023

“Selepas itu, saya pergi ke rumah jiran sebelah dan rupanya tuan rumah sebelah itu mak saudara si pengantin perempuan. Jadi kami beritahu tujuan datang dan tanya mengenai pengantin perempuan sama ada kenal atau tidak.

“Bertambah geram dan terkejut apabila mereka beritahu nama sebenar dia. Lagi parah perempuan tu dah berkahwin dan ada dua orang anak,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Mangsa turut memuat naik gambar wanita berkenaan dan bapanya di laman Facebook.

Lelaki terbabit kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Daro pada 10 November lepas dan ia turut disahkan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili yang enggan mengulas lanjut mengenai kes itu. – 14 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related