KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Selangor untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dapat mengelakkan sesebuah PBT itu daripada terus bersifat jumud dan ketandusan idea dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Datuk Bandar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, penubuhan suruhanjaya tu juga adalah ke arah memperkasa aspek kualiti perkhidmatan awam negeri kepada penduduk di wilayah pentadbiran PBT Selangor.
“Penubuhan ini ibarat membuka lembaran baru yang dinantikan oleh ramai penjawat awam di bawah PBT.
“Memahami akan tuntutan masyarakat kini kian berubah dan meningkat saban tahun, kerajaan negeri mungkin memikirkan sektor perkhidmatan awam negeri perlu diharmonikan.
“Bukan sahaja aspek kualiti perkhidmatan, malah dalam aspek mobiliti dan psikologi dalam kalangan penjawat PBT itu sendiri,” katanya kepada Scoop.
Beliau berkata, umum mengetahui bahawa sektor PBT negeri adalah perkhidmatan tertutup dan tertakluk kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang mana kuasa melantik adalah PBT, bukan oleh Kerajaan Negeri.
Katanya, ini menjadikan pegawai atau kakitangan yang dilantik oleh sesebuah PBT tidak boleh berpindah, ditukarkan atau bertukar ‘suka sama suka’ ke PBT lain.
“Hal ini menjadikan sesebuah PBT itu bersifat jumud dan lantikan mereka akan kekal berpencen di PBT yang melantik mereka.
“Keadaan inilah yang akan menjurus kepada kejumudan, ketandusan idea dan kegersangan dalam perkhidmatan kepada rakyat.
“Tindakan yang sepatutnya dalam masa satu hari boleh selesai menjadi lebih seminggu dan berbulan-bulan malah bertahun untuk diselesaikan.
“Pegawai tiada semangat dan rakyat sentiasa tidak berpuas hati terhadap apa yang diberikan oleh penjawat awam negeri,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, langkah mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan PBT satu langkah bijak ke hadapan oleh kerajaan Selangor demi kelangsungan, kedinamikan dan keterbukaan seterusnya menyuburkan kerjaya perkhidmatan awam.
“Dahulunya malap, longlai, tidak bersemangat berubah menjadi lebih progresif, responsif, efektif dan lebih madani sifatnya. Kelestarian ini menjadikan PBT lebih dihormati dan yang mendapat untungnya adalah rakyat,” katanya.
Dalam pembentangan Bajet Selangor 2024 pada Jumaat, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan PBT bakal ditubuhkan tahun hadapan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan termasuk tempoh respons terhadap aduan rakyat dalam tempoh 24 jam.
Beliau berkata, suruhanjaya itu yang dijangka dibentuk pada suku ketiga 2024 itu akan dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
Katanya, suruhanjaya itu juga ditubuhkan bagi mewujudkan bandar berdaya huni dan mampan di setiap PBT sekali gus menjadikan Selangor sebagai negeri paling bersih. – 12 November, 2023