Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
‘Tiada polisi bahawa MRSM hanya untuk pelajar miskin, anak kenamaan juga layak’ kata Pengerusi Mara | Scoop

‘Tiada polisi bahawa MRSM hanya untuk pelajar miskin, anak kenamaan juga layak’ kata Pengerusi Mara

Kuota yang ditetapkan ialah 60% pelajar dalam kalangan Kumpulan B40 manakala selebihnya adalah anak-anak Kumpulan M40 dan T20, yang melepasi ujian kelayakan ke MRSM

2:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak pernah mempunyai polisi di mana hanya pelajar miskin layak menuntut di institusi pendidikan tersebut sebaliknya anak kenamaan dan T20 juga boleh berbuat demikian jika layak.

Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cuma keutamaan diberikan oleh Mara kepada anak-anak dalam kalangan golongan yang berpendapatan rendah.

Jelasnya, kuota yang ditetapkan ialah 60% pelajar dalam kalangan Kumpulan B40 manakala selebihnya adalah anak-anak Kumpulan M40 dan T20, yang melepasi ujian kelayakan ke MRSM.

Lazimnya, kata beliau ibu bapa pelajar dalam kalangan M40 dan T20 yang banyak membantu Persatuan Muafakat (PIBG) dalam pelbagai aktiviti dan tambahan dana yang diperlukan untuk program pembangunan pelajar.

“Cuba bayangkan jika semuanya daripada B40, siapakah yang boleh membantu persatuan Muafakat dan pelbagai aktiviti tambahan di MRSM?

“MRSM dari awal penubuhan tidak pernah menutup peluang anak-anak golongan VIP yang layak untuk masuk ke MRSM. Bahkan anak (bekas) Perdana Menteri pun pernah belajar di MRSM Pengkalan Chepa dan menjadi Presiden Ansara (Persatuan Bekas Pelajar MRSM),’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas mengenai komen-komen yang dibacanya dengan ada yang membuat andaian bahawa hanya pelajar miskin boleh menuntut di MRSM dan meminta institusi berkenaan kembali kepada tujuan asal membantu B40, bukannya M40 atau T20.

Selain itu ada juga yang mendakwa anak-anak VIP atau T20 menggunakan ‘kabel’ untuk menuntut di MRSM.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, menurut tafsiran kerajaan, M40 adalah mereka yang mempunyai pendapatan seisi rumah antara RM5,000 ke RM10,000.

Namun, bagi mereka yang menetap di bandar besar dan mempunyai anak yang ramai, ia bukan sesuatu yang mudah untuk keluarga tersebut, justeru, tidak adil secara mutlak untuk menafikan hak mereka.

Tegasnya, kepelbagaian latar belakang keluarga MRSM inilah yang telah berjaya meningkatkan kecemerlangan MRSM selama ini dengan pelbagai aktiviti dijalankan dengan prinsip saling bantu-membantu dan lengkap-melengkapi. – 11 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related