KUALA LUMPUR – Perang mulut meletus antara R.S.N. Rayer (Jelutong-PH) dengan wakil rakyat pembangkang apabila beliau menyelar tindakan mereka yang seolah-olah memperlekehkan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani konflik Palestin – Israel.
Rayer berkata, beliau terpaksa menyuarakan perkara itu kerana menghargai keprihatinan yang ditunjukkan Perdana Menteri dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin yang dizalimi oleh rejim Zionis.
“Saya yakin dan percaya Perdana Menteri amat serius dalam memberi perhatian terhadap masalah perang yang sedang berlaku di Palestin dan saya juga yakin PM juga beri perhatian kepada semua isu kemanusiaan di seluruh dunia.
“(Tapi) kita lihat di dewan yang mulia ini, pihak pembangkang selalu mempersoalkan komitmen YAB Perdana Menteri dalam menangani isu Palestin.
“Apabila YB (Anwar) membuat ucapan di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), kita lihat pemimpin-pemimpin pembangkang juga yang memperlekehkan ucapan tersebut sebab itu saya rasa terkilan dan marah,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Tidak berpuas hati dengan perkara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bangkit memprotes kenyataan yang dikeluarkan Rayer, yang disifatkan seperti batu api dan sengaja ingin melaga-lagakan di antara kedua pihak.
“Kami sokong, dia (Rayer) suka pelaga orang, dilahirkan untuk pelaga orang sahaja… bagi orang bergaduh. Kenapa mesti ungkit, kami dah menyokong (komitmen ditunjukkan PM),” kata Shahidan.
Perang mulut antara keduanya menyebabkan Tmbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau terpaksa mencelah dan menegur kedua-duanya agar tidak membangkitkan sebarang isu-isu yang tidak berkaitan ketika Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin sedang memberi ucapan.
“Saya rasa ahli-ahli yang berhormat jangan bangkitkan isu-isu yang tidak berkaitan. Biar Timbalan Menteri (Alamin) untuk habiskan (beri ucapan).
“Kalau nak minta pencerahan, minta sahaja. Jangan berbahas,” tegur Alice.
Terdahulu, Anwar menegaskan pendirian Malaysia yang sentiasa bersama dengan perjuangan rakyat Palestin serta tidak mengiktiraf undang-undang Amerika Syarikat yang bertujuan untuk menekan mana-mana pihak termasuk kerajaan negara lain menyalurkan bantuan kepada Hamas. – 7 November, 2023