KUALA LUMPUR – Aplikasi MyOnePAS yang dilancarkan baru-baru ini yang merangkumi pelbagai perkhidmatan kewangan dan parti, akan dibangunkan oleh sebuah syarikat di mana Mohd Najib Asaddok, seorang penceramah bimbingan pemasaran dalam talian, adalah antara pengarahnya.
Menurut dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diperoleh oleh Scoop, pembangun aplikasi terbabit iaitu PASPay Technology Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 27 September dan beralamat di Jalan 19/36, Petaling Jaya.
Syarikat itu ditubuhkan kira-kira sebulan sebelum Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang melancarkan aplikasi berkenaan semasa Muktamar PAS pada 21 Oktober lalu.
Semasa sidang media selepas pelancaran itu, Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, aplikasi berkenaan antara lain dilengkapi kemudahan kad prabayar menggunakan Mastercard selain e-dompet.
Dokumen SSM itu menyenaraikan sifat perniagaan syarikat terbabit sebagai ‘aktiviti syarikat induk, pengiklanan dan aktiviti perkhidmatan teknologi maklumat lain yang tidak diklasifikasikan di tempat lain.’
Memandangkan statusnya yang baru ditubuhkan, tiada maklumat kewangan disediakan, di mana ia mempunyai modal saham RM100.
PASPay Technology Sdn Bhd diterajui oleh lima pengarah, termasuk Najib, yang berusia 40 tahun.
Wajahnya menghiasai papan iklan di lebuh raya seluruh negara, termasuk Lebuhraya Persekutuan, mengiklan perkhidmatan bimbingan pemasaran dalam talian.
Najib, pada 2018 menjadi tajuk utama berita dalam negara apabila Menteri Pertanian dan Asas Tani ketika itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub menangguhkan pelantikannya sebagai penasihat pemasaran di dalam Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN).
Salahuddin, yang meninggal dunia pada Julai lalu, ketika itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas warga maya mempersoalkan pelantikannya, dengan mendakwa latar belakang Najib tidak ada kaitan dengan industri pertanian.
Tahun lepas, Najib sekali lagi berdepan dengan kontroversi apabila beliau membuat laporan polis terhadap pengguna TikTok yang didakwa menyiarkan klip video siaran langsungnya hingga menyebabkan netizen menuduh beliau menjalankan perniagaan dengan menjual ‘air liur’.
Mereka mempertikaikan kelayakannya dan mempersoalkan sama ada Najib mempunyai perniagaan yang berjaya untuk melayakkannya menjadi jurulatih permasaran dan perniagaan.
Menerusi profil LinkedIn, Najib yang tidak memiliki kepentingan saham dalam PASPay Technology, adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat perunding pemasaran digital dikenali sebagai Momentum Internet Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada 2014.
Selain Najib, seorang lagi pengarah PASPay Technology ialah Ahmad Rashdan Ikhsan, iaitu CEO InfaqPay, yang merupakan ejen Bank Islam Malaysia Bhd dan memegang 10 peratus saham.
Manakala bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Syed Ahmad Fadhli Syed Mahmad Hadzari, yang juga salah seorang pegawai khas Takiyuddin ketika Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjadi Menteri Tenaga dan Sumber Asli di bawah kerajaan sebelum ini, turut dinamakan sebagai pengarah dengan memegang 25% kepentingan dalam syarikat.
Seorang lagi pengarah yang memegang 25% saham di dalam syarikat itu ialah anggota PAS, Mohd Khoirol Anwar Mat Zuki, yang terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 2019 berhubung dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Bhd.
Pengarah terakhir dalam PASPay Technology ialah seorang wanita dikenali sebagai Norrina Juffri, yang juga pemegang saham tunggal dalam syarikat teknologi maklumat, Digital Badr Sdn Bhd.
Norrina merupakan pemegang saham terbesar dalam PASPay Technology iaitu 40% saham.
Untuk rekod, Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, MyOnePAS akan dibangunkan oleh syarikat dikenali sebagai Pay Tech Sdn Bhd.
Bagaimanapun, pemantauan Scoop tidak menemui rekod syarikat berkenaan dalam SSM.
Pada 28 Oktober lalu, Takiyuddin berkata, MyOnePAS masih dalam bentuk fasa awal atau pengujian Beta bagi mendapatkan maklum balas selain memberikan pengenalan awal aplikasi kepada orang ramai terutama ahli parti itu sendiri.
Takiyuddin juga berkata, aplikasi ini dijangka dimuat naik secara rasmi dalam Google Play Store dan Apple App Store hujung November ini.
Selain memudahkan sumbangan untuk PAS, MyOnePAS mempunyai perkhidmatan seperti kemudahan pembayaran bil, panduan solat dan aplikasi lain untuk pelbagai urusan parti.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kebimbangan pakar teknologi yang risau akan risiko keselamatan kepada pengguna yang memuat naik aplikasi melalui fail APK.
Semakan di laman sesawang MyOnePAS menunjukkan pengguna sudah dimaklumkan bahawa aplikasi berkenaan dibangunkan dengan kerjasama ManagePay Services Sdn Bhd, pemeroleh pedagang yang dimiliki sepenuhnya oleh ManagePay Systems Bhd. – 6 November, 2023