SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan pulang ke Penjara Kajang selepas ujian Covid-19 kali kedua oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Jumaat mendapati keputusan adalah negatif.
Menurut Pegawai Khasnya, Muhamad Mukhlis Maghribi, pemantauan terhadap prestasi kesihatan Najib telah dijalankan sehingga Ahad.
“Selepas doktor membuat pemeriksaan terakhir, beliau dibenarkan pulang ke Penjara Kajang semula,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Najib telah dimasukkan ke HKL pada 3 November lalu selepas mengalami demam.
Selepas pemeriksaan dilakukan doktor pakar, beliau didapati positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di hospital.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang setelah didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC). – 5 November, 2023