KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia yang terperangkap di wilayah Khan Younis, Gaza, Nurul Ain Haron, 37, mendedahkan keadaan di sana semakin tegang.
Menurutnya, memasuki hari ke-28 sejak Israel menyerang Gaza tanpa henti, penduduk di kawasan itu masih tiada bekalan elektrik dan juga air.
Lebih menyedihkan, Nurul Ain berkata, dia dan penduduk di situ terpaksa minum air masin.
“Keadaan makin hari makin tegang. Masih tiada bekalan elektrik. Tiada air, air masin kami teguk. Apa yang boleh digambarkan Gaza tenat.
“Akibat kekurangan ubatan, empat pesakit kanser meninggal. Ada mangsa pengeboman terpaksa jalani pembedahan potong kaki di koridor hospital tanpa ubat bius.
“Rumah ranap tetapi di mulut masih mengucapkan Alhamdulillah. Mereka tidur di tepi jalan pun masih ucap Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Cerita Nurul Ain lagi, ada penduduk yang terpaksa memecah masuk pasar raya kerana kelaparan.
“Apa perlu kami buat, kami lapar. Duduk di sekolah dibom, duduk di hospital dibom, duduk rumah pun dibom.
“Jadi mana tempat selamat? Jawapannya tiada tempat selamat. InsyaAllah Allah melindungi kami semua,” katanya.
Walaupun serangan Israel di Gaza masih berterusan sehingga hari ini, wanita itu bersama suaminya yang juga warga Palestin sudah berada di Gaza sejak 1 Oktober lalu, yakin keadaan akan kembali pulih.
“InsyaAllah semuanya akan Okay. InsyaAllah semuanya akan berakhir,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Nurul Ain yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya Mohamed Adnan Shaat 33, berada di Gaza untuk bercuti.
Katanya, suaminya sudah sembilan tahun tidak bertemu keluarganya di Gaza tetapi tidak menduga percutian mereka berdepan ‘ujian’.
Sejak itu, Nurul Ain dan suaminya turut aktif mengagihkan bantuan makanan dan barang keperluan lain kepada penduduk di sekitar Khan Yunis.
Lebih memilukan apabila wanita berasal dari Keramat itu turut berkongsi kisah sedih, menyambut ulang tahun kelahiran dengan letupan bom pada 11 Oktober lalu.
Lebih 23,500 orang awam cedera dalam konflik yang tercetus sejak 7 Oktober lalu, manakala jumlah kematian terkini melebihi 9,200. – 4 November, 2023