KUALA LUMPUR — Suasana menyayat hati berlaku kepada wartawan penyiaran TV Palestin, Salman Al-Bashir ketika membuat liputan mengenai kematian rakan setugasnya, Mohammad Abu Hattab di sebuah hospital.
Mohamad bersama 11 anggota keluarganya termasuk isteri, anak serta abangnya terkorban dalam serangan udara Zionis di rumah mereka di Khan Younis, lapor agensi berita WAFA.
Sejam sebelum itu, Mohamad telah membuat liputan berita mengenai kekejaman Zionis yang berterusan membedil Gaza tanpa belas ihsan.
Salman ketika melaporkan mengenai perkembangan berkenaan menerusi siaran berita telah menanggalkan jaket perlindungan dan topi keledar yang dipakainya kerana terlalu kecewa dan sedih.
“Kami tak boleh terima lagi, kami ‘penat’. Kami menjadi mangsa. Perbezaan antara kami ialah waktu kematian. Satu demi satu terkorban dan tiada yang peduli mengenai kematian atau jenayah yang terpaksa dihadapi penduduk di Gaza.
“Jaket dan topi keledar ini tidak melindungi mana-mana wartawan, ia hanya slogan kosong. Kami adalah mangsa, menunggu masa untuk dibunuh. Mohammad berada di sini setengah jam lalu (membuat liputan).
“Kini dia meninggal dunia bersama keluarganya di hospital yang sama,” katanya.
Penyampai berita TV Palestin ketika itu turut menangis mendengar keluhan dan kemarahan daripada Salman.
Palestine TV journalist Mohammad Abu Hattab was killed with his family in an Israeli airstrike. His colleague Salman Al-Bashir removes his protective gear marked PRESS on air saying: “We can’t take it anymore, we are exhausted. We are victims. The only difference between us is… pic.twitter.com/66gfbIpCWW
— Ambassador Majed Bamya 🇵🇸 (@majedbamya) November 2, 2023
Dengan kematian Mohammad itu, ia menjadikan jumlah petugas media dari Media Rasmi Palestin yang terkorban sejak Israel melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu meningkat kepada empat orang.
Sehingga kini, seramai 9,159 rakyat Palestin yang majoritinya adalah orang awam termasuk kanak-kanak, telah terbunuh di Gaza, lapor Kementerian Kesihatan Palestin. – 3 November, 2023