Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kurang defisit fiskal tak bermakna kerajaan abai kesejahteraan rakyat, pembangunan ekonomi: PM | Scoop

Kurang defisit fiskal tak bermakna kerajaan abai kesejahteraan rakyat, pembangunan ekonomi: PM

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan memperkukuh pengurusan fiskal supaya lebih mampan, ia diimbangi dengan dasar fiskal mengembang

9:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menemplak pihak yang mengkritik keputusan kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus pada 2024.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, biarpun kerajaan bercita-cita tinggi dalam mengurangkan defisit fiskal, ia tidak bermaksud usaha melindungi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi diabaikan.

“Sasaran pengurangan defisit fiskal adalah secara beransur-ansur, iaitu daripada 5.6 peratus pada 2022, kepada 5 peratus tahun ini dan selanjutnya 4.3 peratus pada 2024.

“Pengurangan ini tidak dibuat dengan mendadak dan kerajaan mengekalkan dasar fiskal mengembang, dengan jumlah peruntukan perbelanjaan meningkat daripada RM386.1 bilion untuk Bajet 2023, kepada RM393.8 bilion bagi Bajet 2024.

“Maknanya, walaupun kerajaan memperkukuh pengurusan fiskal supaya lebih mampan, ia diimbangi dengan dasar fiskal mengembang, mengambil kira keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar serta keutamaan untuk terus membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri menjawab pertanyaan beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang mempersoalkan kesungguhan kerajaan mengurangkan defisit fiskal berbanding menyediakan belanjawan yang besar untuk membantu rakyat.

Anwar berkata, biarpun memahami kerisauan sesetengah pihak, beliau memberi jaminan bahawa status projek dan program membabitkan rakyat tidak akan terkesan.

“Apa bukti kerajaan ini ‘deliver’ dan membela nasib rakyat? Kerajaan ini berjaya menurunkan kadar pengangguran kepada 3.4 peratus setakat Ogos 2023 iaitu mencapai tahap guna tenaga penuh dan selari dengan pengangguran sebelum krisis COVID-19.

“Kerajaan ini yang membela nasib pekebun kecil getah. Harga pengaktifan insentif pengeluaran getah ditingkatkan. Kerajaan ini mendengar rintihan pesawah, menerusi Bajet 2024 meningkatkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 per metrik tan (kali terakhir disemak pada 2014).

“Maka, siapa pula yang mengabaikan kebajikan rakyat? Jadi saya harap (siapa yang mengkritik Bajet 2024) bacalah dulu dan kaji maklumat sebelum beri kritikan,” katanya.

Perdana Menteri membentangkan Bajet 2024 pada 13 Oktober lalu, membabitkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negara, bernilai RM393.8 bilion. – 2 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related