KUALA LUMPUR – Kewujudan perpustakaan digital, Pustaka KL Digital Madani @Bandar Sri Permaisuri, wajar menjadi aspirasi bagi melahirkan lebih ramai generasi berilmu menerusi kemudahan itu.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, negara juga akan mendapat manfaat melalui kemudahan itu, sekali gus melahirkan modal insan terbaik.
“Itu yang paling penting, walaupun prasarana (penting) dibangunkan, tetapi modal insan paling penting.
“Jadi apa diharapkan daripada rakyat, hargai (Pustaka KL Digital Madani) ini, jangan ambil kesempatan, gunakanlah secara optimum, jangan lakukan vandalisme dan jagalah kerana ini harta benda kita bersama,” katanya ketika ucapan perasmian Pustaka KL Digital Madani @Bandar Sri Permaisuri di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Pustaka KL Digital Madani @Bandar Sri Permaisuri menjadikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menyediakan pustaka digital.
Kemudahan itu adalah projek di bawah tanggungjawab sosial korporat Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) untuk DBKL, melalui perjanjian ditandatangani pada 2013.
Bagi rekod, pihak MRCB membina dua perpustakaan, iaitu Pustaka KL @Lembah Pantai dan Pustaka KL @Medan Idaman masing-masing pada 2015 serta 2017.
Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata, perpustakaan adalah tempat untuk menimba ilmu dan persekitaran yang baik bagi meningkatkan ketrampilan, jasmani serta intelek anak.
“Kita mahu persekitaran yang mampu merangsang kreativiti untuk masa depan lebih baik dan cerah, selain mempertingkat kualiti hidup terutama bagi anak muda,” katanya.
Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada MRCB dan inginkan usaha tanggungjawab sosial terbabit, dicontohi syarikat korporat lain.
“Tahniah kepada MRCB atas usaha ini, supaya ia menjadi contoh kepada syarikat korporat lain untuk turut sama menyumbang. Ini beri impak jangka panjang yang hebat dan manfaat kepada penduduk serta rakyat Malaysia.
“Moga kerjasama erat ini akan berterusan bagi membangunkan negara,” katanya.
Berkonsepkan bahan bacaan secara digital, Pustaka KL Digital Madani @Bandar Sri Permaisuri menyediakan kemudahan seperti ruang kanak-kanak dilengkapi meja interaktif SMART, ‘interactive floor projection’ dan buku mewarna secara langsung.
Dalam menggalakkan kunjungan remaja, kemudahan itu turut menyediakan ruang multimedia yang menempatkan realiti maya (VR) dan permainan Playstation 5.
Manakala, bagi orang dewasa, perpustakaan itu menyediakan 28 unit komputer desktop, termasuk empat unit iMac, 10 unit iPad dan ‘notebook’.
Lebih menarik, perpustakaan digital itu menyediakan pembelajaran secara interaktif dan buku, majalah serta akhbar dalam bentuk elektronik menerusi perkhidmatan dalam talian, sepert Buffet@PKL, KLeLIB dan koleksi gambar digital pustaka berkenaan.
Pihak perpustakaan itu juga menjalin kolaborasi bersama Perpustakaan Negara Malaysia, dengan membekalkan 4,476 buku elektronik serta perkhidmatan Pangkalan Data U-Pustaka yang menyediakan lebih 36 pangkalan data.
Tarikan perpustakaan digital itu juga adalah ia menawarkan aplikasi MyGuru, iaitu aplikasi yang menyediakan nota pembelajaran mengikut sukatan pelajaran terkini dan bank soalan peperiksaan.
Pada program itu, MRCB memaklumkan, pihaknya berbesar hati menaja beberapa aplikasi berkonsepkan permainan berunsur pendidikan dengan kos sebanyak RM30,000 bagi menambah koleksi digital di perpustakaan ini. – 31 Oktober, 2023