KUALA LUMPUR – NSK Trade City Sdn Bhd (NSK) membuat permohonan maaf secara terbuka, selepas sebuah daripada cawangan pasar rayanya menjual daging katak bersama barangan basah lain, sehingga tular di media sosial.
Syarikat itu menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius isu terbabit dan tindakan sudah diambil, demi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Kepada pelanggan kami, umat Islam khususnya, kami memohon maaf atas kejadian pada 24 Oktober lalu. Kami faham tahap keseriusan isu terbabit dan tindakan sudah diambil serta merta.
“Amaran keras sudah diberikan kepada pekerja berkenaan. Pihak syarikat akan memastikan sebaik-baiknya supaya tidak akan berlaku lagi kesilapan terbabit,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial foto daging dipercayai katak yang dijual dalam piring diletakkan di bahagian barangan basah, termasuk di sebelah ikan di pasar raya NSK di Selayang.
Pekerja di bahagian itu membuka dan mempamerkan daging terbabit tanpa mengetahui ia adalah daging katak.
Ia dikatakan hanya disedari kira-kira jam 10 pagi pada hari sama daging terbabit diletakkan dan ketika itu, pasar raya berkenaan, belum sesak dengan pelanggan.
Selepas ia dimaklumkan kepada pekerja pasar raya berkenaan, daging terbabit kemudian dialihkan dari bahagian itu. – 29 Oktober, 2023