KUALA LUMPUR – Biarpun sibuk dengan jadual harian yang cukup padat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap memastikan tumpuan terhadap keluarga, termasuk cucunya diberi perhatian.
Malah, sesekali Anwar berkongsi momen melakukan aktiviti santai atau beriadah bersama cucunya, seperti sebelum ini yang menyaksikannya menonton perlawanan catur dunia bersama.
Terbaru, video dikongsi Perdana Menteri di Facebook semalam, menarik perhatian ramai dan mengundang tawa netizen apabila memaparkan beliau bermain ‘pillow fight’ (lawan bantal) bersama tiga cucunya.
Dengan mengenakan kemeja-T berkolar warna kuning dan kain pelekat bercorak ‘kotak-kotak’ coklat, Anwar kelihatan membaling beberapa biji bantal kepada cucunya, sebelum dibalas mereka sambil ketawa.
Netizen turut tertarik dengan keterangan ditulis Anwar menerusi video berdurasi 20 saat berkenaan yang menyatakan aktivitinya bersama cucu itu membuatkan beliau hilang penat.
“Hilang penat layan cucu,” katanya ringkas.
Perkongsian Anwar itu dipuji netizen yang menyifatkannya seorang ketua keluarga dan datuk penyayang.
“Wah datuk yang hebat, dalam kesibukan jadual kerja, masih meluangkan waktu bersama keluarga. Masa berharga dengan cucu-cucu…” kata Aruna.
“Elok la PM layan cucu, hiburkan hati lepas penat kerja,” tulis seorang pengguna.
“Comel je cucu-cucunya,” kata Mutiara.
Segelintir netizen pula berkata, telatah Anwar itu sememangnya sikap dan sifat semula jadi seorang datuk dalam melayan cucu mereka.
“Alhamdullillah kami dah ada dua cucu, macam itulah kalau Tok Wan melawak dengan cucu,” kata Naziah.
“Saya terkenang zaman kanak-kanak saya. Semoga PMX (Perdana Menteri Ke-10) sentiasa ceria dan tabah menghadapi dugaan dalam memacu negara Malaysia tercinta,” luah Sana.
“Bestnya kan layan cucu. Macam abah kami kalau layan cucu,” ujar Nur.
Ada pula netizen menulis komen jenaka dan seolah-olah ‘cemburu’ dengan layanan diberikan Anwar kepada cucunya.
“Rasa nak jadi cucu DSAI jugalah,” kata Nik.
“Nanti isteri datuk seri ngamok lak (mengamuk pula) pasal buat kepau (sepah). Kemas balik! Hahahaha,” respon seorang pengguna.
“Dik berani ya kamu baling bantal balik kat PM kami,” kata Ayie.
Anwar memiliki enam anak menerusi perkahwinannya bersama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, iaitu lima perempuan dan seorang lelaki, Nurul Izzah, Nurul Nuha, Ehsan, Nurul Iman, Nurul Ilham serta Nurul Hana.
Beliau dan Azizah dikurniakan 13 cucu dengan paling kecil dilahirkan pada 30 Mei lalu. – 27 Oktober, 2023