KUALA LUMPUR – Sikap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab berdiam diri serta hanya ‘bercakap kosong’ dalam mendepani konflik membabitkan Israel dan Palestina amat dikesali.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua pihak terbabit digesa bertindak tegas dan lantang bersuara dalam menentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Katanya, OIC dan Liga Arab juga perlu bertindak tegas terhadap kekejaman rejim aparteid Israel yang berterusan melakukan pembunuhan, selain penghapusan etnik.
“Namun kita kesal kerana sehingga hari ini tidak nampak tindakan tegas yang diambil OIC dan Liga Arab, kecuali hanya bercakap kosong semata-mata.
“Sepatutnya OIC dan Liga Arab mesti tunjukkan kepada dunia bahawa semua negara Islam, bersatu bersama dan tindakan tegas perlu diambil mereka,” katanya pada sesi Perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri mengutuk negara besar dunia apabila bersubahat dengan kerakusan Israel dalam melakukan jenayah perang, sehingga meragut nyawa lebih 5,000 rakyat Palestin hingga ke hari ini.
“Konflik Israel-Palestin ini perlu dinoktahkan segera! Sehingga ke hari ini saya melihat kuasa besar (dunia) tidak jujur dalam menyelesaikan isu Palestin.
“Tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto dan menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) agar pembantaian terhadap Palestin dihentikan bagi memberi ruang kepada bantuan kemanusiaan, tidak dapat diterima akal sama sekali.
“Malah, sokongan dari negara Eropah seperti United Kingdom (UK) dan Perancis terhadap Israel menjadikan zionis semakin mengganas,” katanya.
Beliau berkata, buktinya Israel hilang kewarasan dan tanpa rasa belas ihsan, mengebom Hospital Al-Ahli Al-Arab di tengah Gaza, sehingga menyebabkan lebih 500 nyawa tidak berdosa terkorban dan menjadikan lebih 1.6 juta penduduk Gaza, sebagai tawanan yang menunggu masa dibunuh.
“Ini adalah jenayah perang yang terang-terang dilakukan Israel dan disokong negara yang bersubahat,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, susulan sokongan penuh diberikan AS terhadap Israel, sewajarnya mana-mana negara yang mempunyai kuasa veto dalam PBB, dimansuhkan agar kekejaman seperti ini tidak berlaku lagi.
“Ketika saya berucap di Perhimpunan Agung PBB tahun lalu, saya menegaskan supaya isu Palestin dimuktamadkan dan kuasa veto mesti dihapuskan kerana tindak-tanduk seperti AS inilah yang menyebabkan dunia (menjadi) semakin huru-hara.
“Saya senada dengan negara Islam lain dan negara seperti Ireland, Sepanyol, Norway, Brazil, Columbia dan Venezuela yang mendesak kegilaan Israel ini dihentikan!” katanya.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah turut mempersoalkan sikap OIC yang tidak lantang dalam mengutuk jenayah perang dilakukan Israel.
“Persoalannya juga di mana OIC? Kenapa berdiam diri? Tidak cukup sekadar mengeluarkan kenyataan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Shamsul Anuar berkata, tindakan tentera Israel mengebom Hospital Al-Ahli Al-Arab di Gaza bukan sahaja perbuatan sangat kejam dan biadap, malah melanggar apa diperakukan dalam Konvensyen Geneva.
“Tindakan Israel mengebom Hospital Al-Ahli Al-Arab di tengah Gaza hingga menyebabkan 500 orang menerima kesan, sangat tidak bertamadun.
“Ini jenayah perang yang sangat tidak berperikemanusiaan, justeru semua masyarakat dunia mesti mengutuk kekejaman ini,” katanya. – 24 Oktober, 2023