KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal disaran supaya mengemukakan usul sekiranya mahu mendesak kerajaan mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau menyarankan perkara itu selepas kedua-dua pemimpin pembangkang tersebut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak membentangkan sebarang usul mengenainya di Dewan Rakyat.
Tegasnya, perkara itu sudah dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi penerangan Menteri pada 16 Oktober lalu dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut melakukan tindakan sama pada 9 Oktober lalu.
“Speaker sudah buat keputusan. Isu ini sudah dijelaskan. Dalam pada itu, Yang Berhormat (YB) boleh bangkitkan pada sesi perbahasan Belanjawan 2024.
“Kalau YB Arau dan Machang tidak puas hati sila buat usul lagi. Itu keputusan Speaker,” katanya.
Sebelum itu, Shahidan bangkit mengesyorkan kerajaan supaya mengemukakan usul untuk merujuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant ke ICC.
“Saya tidak sepatutnya bawa usul ini, sepatutnya usul ini datang daripada kerajaan. Jadi dengan itu saya mengesyorkan supaya kerajaan sendiri yang bawa usul tersebut.
“Kami dah bawa usul, tapi kalau kami yang bawa usul ia (kelihatan) kurang manis. Kerajaan sendiri yang kena buat usul,” katanya.
Sementara itu, Wan Fayhsal pula berkata, Dewan Rakyat mempunyai kuasa legislatif untuk membawa usul tersebut seperti mana dilakukan negara luar seperti Sepanyol, Columbia dan Ireland yang secara jelas menentang kezaliman Israel terhadap Palestin.
“Kenapa pada hari ini, tiada ketegasan yang kita (Malaysia) bawa dan angkat di Dewan Rakyat.
“Di luar berbeza itu demonstrasi, dalam Dewan Rakyat ada kekuatan legislatif seperti mana di Sepanyol, Columbia dan Ireland,” katanya.
Untuk rekod, rejim Zionis membedil beberapa hospital yang menempatkan pesakit dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal sejak memulakan serangan di Palestin bermula 7 Oktober lalu.
Mengikut undang-undang perang, adalah dilarang untuk mengebom atau menyerang mana-mana hospital atau sebarang rumah ibadat seperti masjid dan gereja.
Setakat ini, lebih 5,000 penduduk Palestin terkorban dengan sebahagian besar mangsa adalah kanak-kanak. – 24 Oktober, 2023