Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
SPAN bentang cadangan tangani krisis air minggu depan | Scoop

SPAN bentang cadangan tangani krisis air minggu depan

Cadangan akan dikemukakan kepada NRECC yang diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad itu, bagi membolehkan pihak berkaitan mendepani cabaran masalah kekurangan bekalan air

12:33 PM MYT

 

CYBERJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membentangkan cadangan dan alternatif Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), bagi mendepani cabaran masalah kekurangan bekalan air.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, perkara itu akan dibentangkan minggu hadapan.

“Menerusi pemerhatian SPAN, sebanyak tujuh empangan di negara ini dikenalpasti berisiko tinggi (dalam pembekalan sumber air).

“Tujuh empangan itu adalah di Pedu dan Muda di Kedah; Durian Tunggal, Asahan dan Jus di Melaka; Mengkuang di Pulau Pinang dan Linggiu di Johor.

“Sehubungan itu, SPAN mencadangkan agar TAPS sebagai langkah terbaharu bagi mendepani cabaran kekurangan bekalan air.

“TAPS atau Off River Storage berfungsi sebagai tadahan banjir dan empangan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Laporan Pemantauan Bekalan Air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutan Labuan di Ibu Pejabat SPAN di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pemeriksaan SPAN mendapati 16 daripada 55 empangan di seluruh Malaysia berusia lebih daripada 50 tahun yang memerlukan banyak kerja penyelenggaraan dijalankan, agar ia dapat berfungsi dengan baik.

“Kadar simpanan air dalam 16 empangan ini contohnya boleh tampung 20 juta liter sehari (mld), tapi yang sebenarnya hanya 15 mld sahaja boleh digunakan disebabkan ‘dead storage’ di bahagian bawah empangan terbabit.

“Ini disebabkan poor maintenance dan tidak ada audit teliti (memantau empangan).

“Disebabkan itu, kami ingin memberikan kesedaran dan penekanan berhubung isu ini terhadap agensi berkenaan agar langkah sewajarnya dapat diambil mereka,” katanya.

Charles turut menekankan kepentingan langkah proaktif seperti TAPS dilakukan lebih awal sebagai persediaan memastikan bekalan air negara, sentiasa mencukupi untuk semua pihak.

“Dengan perubahan cuaca dan iklim tidak menentu sekarang, kita memang tidak boleh menjawab berapa lama bekalan air mampu bertahan , namun SPAN akan memastikan bekalan air mencukupi untuk semua.

“Kita tidak boleh katakan kita boleh tunggu untuk lima tahun akan datang.  Sekarang pun dah lambat dan disebabkan itu, kita kena mula dari awal (guna langkah alternatif agar bekalan air sentiasa mencukupi),” katanya. – 23 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Related