KUALA LUMPUR – Di sebalik kecaman di media sosial, pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM) Datuk Dr Musa Mohd Nordin mempertahankan pendiriannya tidak membenarkan peserta himpunan Freedom For Palestine mengangkat sepanduk mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tidak menggalakkan laungan takbir.
VPM adalah salah satu penganjur perhimpunan pro Palestin yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini.
Dr Musa berkata, walaupun masih belum membaca komen-komen ‘kecaman’ di media sosial, beliau berkata mereka yang terlibat ‘berfikiran sempit’ dan gagal untuk melihat gambaran yang lebih besar dalam perang Palestin-Israel.
“Sepanduk (Netanyahu) dianggap sebagai provokasi oleh pasukan keselamatan saya. Saya minta (lelaki yang memegang sepanduk) untuk menurunkannya dan jika dia enggan berbuat demikian, maka dia boleh buat sendiri himpunannya.
“(Sepanduk) tidak menggambarkan adab dalam VPM di mana kita mempertahankan etika standard, meskipun ketika emosi meningkat,’’ katanya kepada Scoop.
Beliau turut menafikan melabel mereka yang mengecam Netanyahu sebagai ‘zionis’ sebaliknya mendakwa memberitahu peserta supaya tidak ‘bertindak ke tahap zionis’.
“Saya tidak kata dia zionis. Saya kata kita tidak sepatutnya ke tahap zionis. Kita adalah ahli syurga, kita adalah orang Islam (dengan) adab yang tinggi yang diajar oleh Rasul.
“Nabi ditindas, namun baginda mengekalkan bahasa, sikap dan kesopanan.’’
Dr Musa berkata, sekumpulan rakyat Palestin hadir di perhimpunan berkenaan turut terlibat dengan ‘provokasi’, menyebabkan petugas keselamatan terpaksa mengugut mereka dengan tindakan polis.
“Saya rasa mereka (peserta dari Palestin) tidak berminat untuk mendengar ceramah, mereka terus mengganggu (ceramah). Petugas keselamatan saya memberitahu mereka: ‘Jika anda tidak berkelakuan baik, kami tiada pilihan kecuali melaporkan anda kepada polis dan ini akan menjejaskan keberadaan anda di sini,’’ katanya.
Dr Musa juga menafikan beliau tidak membenarkan laungan takbir ‘Allahu Akhbar’ dan menekankan bahawa himpunan itu bertujuan untuk menarik orang ramai dari pelbagai latar belakang.
“Kami (VPM) telah membuat kenyataan rasmi bahawa himpunan ini untuk masyarakat berbilang kaum dan agama. Kami mahu semua orang terlibat, jika anda melaungkan takbir, maka anda mengasingkan masyarakat bukan Islam dalam khalayak ramai itu.
“(Peserta yang berkeras melaungkan takbir) adalah mereka yang konservatif dan ekstrimis. Saya rasa mereka datang dari latar belakang konservatif (di mana perang Palestin-Israel) dianggap sebagai semuanya mengenai umat Islam dan Yahudi (masyarakat).
“Saya tidak menyebut tentang menghentikan laungan takbir, ia (perhimpunan) sangat jelas dari awal. Mereka fikir mereka boleh ‘melaungkan keislaman’ mereka, tapi VPM menghormati kumpulan agama lain.’’
Komen-komen yang mengecam himpunan Freedom For Palestine memenuhi media sosial VPM dengan ramai yang menggambarkan himpunan terbabit sebagai tidak mencapai solidariti kepada Palestin, yang kini sedang dibedil Zionis sejak 7 Oktober lalu.
Salah seorang adalah Syed Muhammad Shafiq Al-Husaini yang menulis di dalam Facebook VPM bahawa dia yang mengangkat sepanduk Netanyahu dan menggelarnya sebagai ‘Syaitan Netanyahu’.
“Saya yang digelar sebagai zionis dan orang yang menggelarnya adalah (Dr Musa) orang yang terpaling Palestin di Dataran Merdeka ini. Ia adalah sesuatu yang benar dan Netanyahu adalah penjenayah perang.
“Kenapa kita nak jaga sangat hati Amerika dan Israel? Demo sebegini hanyalah wayang semata-mata dan hanya nak menunjukkan mereka juga ‘into the scene’. Benar laungan takbir juga tidak dibenarkan, kononnya tak nak Non Muslim berasa tak selesa, laungan tersebut dianggap bersifat ‘offensive’ oleh orang Islam sendiri.
“Sepatutnya didiklah Non-Muslim bahawa takbir itu adalah laungan suci Umat Islam yang tidak bersifat ganas dan bersifat menyatukan. Penganjur cuba membawa perspektif ‘humanitarian’ yang melampau hingga merendah-rendahkan sisi agama dan tanah suci Umat Islam dalam perjuangan Palestin,’’ katanya.
Tambah Syed Muhammad, dia kemudiannya memutuskan untuk balik dan tidak bersama lagi dengan perhimpunan itu yang dianggap sebagai merendahkan intelektual dan kebebasan bersuara.
Perhimpunan Freedom For Palestine diadakan di Dataran Merdeka pagi tadi, dengan anggaran kira-kira 10,000 orang menyertainya.
Ia turut disertai Nurul Izzah dan penceramah lain seperti ketua gereja Goh Keat Peng, pelakon dan model terkenal, Kavita Sidhu serta aktivis hak asasi manusia, Tan Zee Kin yang membuat penampilan sebagai tetamu kehormat. – 22 Oktober, 2023