KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengkritik Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak konsisten dalam tindakannya apabila mengarahkan ahli PAS untuk menarik undi bukan Islam menerusi ucapannya dalam Muktamar Tahunan PAS.
Menurutnya, tindakan Presiden PAS itu ibarat hari ini cakap lain, esok cakap lain kerana menagih undi bukan Islam yang sebelum ini dilabelkan beliau sebagai perosak negara.
“Membaca ‘amanat’ terbaru Hadi mengingatkan saya tentang tomahan beliau terhadap pengundi bukan Melayu.
“Pada Ogos tahun lepas, beliau mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan kumpulan ‘majoriti’ menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
“Nampaknya Hadi sedang menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah beliau label sebagai perosak negara. Sejak dari dulu, Hadi terkenal dengan sikap tidak konsisten dalam berkempen. Hari ini cakap lain, esok cakap lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Hadi mengarahkan ahli PAS untuk bekerja keras dalam mendekatkan pengundi bukan Islam dengan parti itu, seterusnya meraih sokongan dan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, ini selaras dengan dapatan bedah siasat PRU ke-15 (PRU-15) lalu mendapati antara kelemahan parti tersebut adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, untuk menggerakkan Malaysia ke hadapan, semua kaum dan agama perlu dilibatkan dalam proses pembinaan negara.
“PKR sebagai parti berbilang kaum tidak pernah melabel mana-mana kaum sebagai perosak negara.
“Saya percaya dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Perpaduan. Ia akan memberikan keyakinan kepada semua pengundi tanpa mengira kaum dan agama untuk terus menyokong kerajaan ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi menzahirkan kekecewaan terhadap Hadi yang secara sinis mendakwa kerajaan Madani tidak dapat disucikan lagi kerana dikelilingi bekas banduan dan perasuah.
Tegasnya, kenyataan Hadi sewaktu Muktamar Tahunan PAS semalam itu secara jelas menunjukkan beliau selaku seorang agamawan tidak mencerminkan nilai sebenar diterapkan Islam.
“Sebagai seorang agamawan, Hadi seharusnya menguar-uarkan nilai kebersamaan, kesatuan dan kekitaan.
“Hal ini kerana agama Islam tersebar melalui penyatuan manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang,” katanya.
Susulan itu, beliau berpendapat, setiap pemimpin haruslah bersifat sederhana dalam berpolitik dan tidak memecah-belahkan umat, melontarkan fitnah dan mengadu domba.
“Jangan hanya kerana kita mengenakan kopiah di atas kepala dan mengemudi parti yang tertera nama Islam, kita merasakan seolah-olah pihak lain tidak suci mahupun tidak ‘Islam’ sepenuhnya.
“Hanya Allah SWT yang layak untuk menilai kesucian seseorang. Sebagai agamawan, beliau sepatutnya memahami lebih mendalam perihal ini,” katanya. – 21 Oktober, 2023