SHAH ALAM — Pemuda Pas merancang untuk mengadakan perhimpunan umat Islam besar-besaran di tengah ibu kota Kuala Lumpur sebagai tanda protes terhadap kekejaman rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata himpunan yang masih belum ditentukan tarikhnya itu akan berarak ke Kedutaaan Amerika Syarikat (AS).
“Pemuda PAS mengajak semua umat Islam untuk sama-sama kita merancang untuk mengadakan satu himpunan besar-besaran di tengah bandar raya Kuala Lumpur dan kita berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat.
“Bila? Itu akan kita tentukan kemudian,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Ke-64 di sini malam ini.
Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, sebagai umat Islam khususnya ahli PAS perlu sentiasa berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir dalam memperjuangkan isu Palestin.
“Walaupun rakyat Palestin gagal dilemahkan oleh sesetengah negara Arab dan Islam yang telah mengecewakan mereka apabila melaksanakan normalisasi dengan Israel mengikut pengaruh negara Barat, namun semangat mereka tidak luntur malah mereka terus berjuang.
“Mereka menghadapi kezaliman dengan gagah berani, memberikan sumbangan dengan pengorbanan nyawa para syuhada yang bertali arus tidak henti-henti,” katanya. -18 Oktober, 2023