KUALA LUMPUR — Himpunan bagi membantah serangan Israel ke atas sebuah hospital di Gaza, yang diadakan di depan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, di sini, sebentar tadi berlangsung dengan aman.
Meskipun jalan menuju kedutaan itu ditutup sejauh kira-kira 100 meter oleh polis, namun peserta memberikan kerjasama.
Semangat tinggi peserta mendapat sokongan pemandu kenderaan yang melalui jalan berkenaan.
Pemandu kenderaan yang terlibat dalam kesesakan lalu lintas di jalan itu membunyikan hon sebagai tanda sokongan terhadap protes yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) pro Palestin.
Himpunan ini turut diserta Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
[TONTON] Berlaku kekecohan antara pihak polis dan peserta himpunan protes apabila mereka disekat daripada memasuki Kedutaan Amerika Syarikat.
— Scoop (@Scoopdotmy) October 18, 2023
Peserta himpunan tidak dapat menahan sebak ketika berdoa memohon Palestin dibebaskan daripada cengkaman Israel. pic.twitter.com/Mc8whmbKW5
Dalam perkembangan terkini, beribu-ribu penduduk Palestin membanjiri jalan-jalan utama di Tebing Barat bagi membantah pembunuhan beramai-ramai menerusi pengeboman di sebuah hospital di Gaza pada Selasa.
Mereka membanjiri Tulkarm, Nablus dan Hebron sambil mengibarkan bendera Palestin serta laungan mengecam tindakan Israel itu.
Setakat ini, hampir 3,500 penduduk terkorban manakala 12,000 cedera dalam serangan berterusan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu. – 18 Oktober, 2023