KUALA LUMPUR – Pengarah Hadith Omar mendedahkan bahawa pada awalnya penyanyi, Hael Husaini bukan calon pilihan pertama untuk membawakan watak Haque Zuhal dalam drama bersiri, My Famous Ex-Boyfriend yang diadaptasi daripada novel popular Perichor karya Nurul Syahida Kamarudin.
Hadith mengakui watak tersebut sepatutnya dibawakan beberapa pelakon lain, seperti Hun Haqeem atau Aedy Ashraf, namun disebabkan jadual padat, mereka tidak dapat melakukannya.
Katanya, disebabkan ketika itu pihaknya berdepan kesukaran untuk mencari pelakon sesuai membawakan watak Haque, sehinggalah suatu hari Eksekutif Produser, Amir mencadangkan nama Hael Husaini.
“Saya terkejut dengan cadangan itu. Sebab, saya tidak fikit pun Hael mempunyai minat untuk berlakon. Apabila, tarikh syuting semakin dekat, nama Hael Husaini timbul lagi.
“Jadi, pada penghujung Ogos, kita pun panggil Hael datang uji bakat sebab kita dah nak mula syuting awal September. Dia betul-betul datang dan tanpa apa-apa persediaan, kita buat script reading bersama dia dan semua orang terpegun dengan persembahannya, termasuk saya sendiri.
“Waktu itu, saya lihat bakat ada pada Hael dan bila berborak dengan dia, saya dapat tahu dia memang suka layan drama bersiri, termasuk k-drama dan gemar ‘berangan’. Dalam otak saya, saya sudah nampak macam mana saya nak cipta Haque Zuhal pada Hael,” katanya bercerita lebih lanjut.
Menurutnya, dia melakukan 50 peratus perubahan ke atas novel Perichor bagi memberikan graf serta memadatkan jalan cerita drama bersiri My Famous Ex-Boyfriend.
“Kalau ikut novel, watak Haque Zuhal memang kurang kerana ia hanya menjadi cerita belakang Sameera yang dilakonkan Qasrina Karim.
“Tapi, untuk drama ini, kita kembangkan watak Haque Zuhal ini kerana kita ingin tunjukkan bagaimana kemasyhuran dan kritikan netizen, mampu memberikan impak dalam kehidupan seseorang.
“Sebelum kita lakukan perubahan ini, kita berbincang dengan Nurul Syahida selaku novelisnya dan nyata dia tidak mempunyai masalah dengan perkara itu. Dia faham kalau kita betul-betul ikut novel, ceritanya akan jadi pendek,” katanya.
Mengenai kritikan netizen bahawa Hael tidak sesuai membawakan watak Haque Zuhal kerana sifat serta keperibadiannya yang agak lembut, Hadith berkata, dia maklum dengan isu terbabit.
“Saya tengok komen netizen. Tapi, saya rasa semua orang kena tengok drama ini kerana saya rasa Hael mampu bagi kejutan kepada penonton yang mungkin beranggapan dia begitu.
“Sebab dia nyata dapat membawa satu persona berbeza dan maskulin sebagai Haque Zuhal, malah saya rasa orang akan jatuh cinta dengan Hael di dalam drama ini.
“Dia bawa watak jahat tapi disayangi ramai dan ada sebab kenapa dia jadi macam itu. Ini juga satu cara untuk kita suntik elemen sisi gelap dalam dunia hiburan.
“Apapun, kita sudah sedia terima segala kritikan dan kecaman. Hael sendiri pun dah ingatkan kami semua. Sebab dia sendiri cakap, bila dia muat naik sesuatu hantaran tanpa sebarang kapsyen pun, orang kecam,” katanya.
My Famous Ex-Boyfriend mengisahkan Sameera, iaitu kekasih kepada Haque Zuhal yang menjadi remaja kegilaan ramai perempuan, sebelum hubungan itu putus di tengah jalan.
Selepas 18 tahun, Sameera terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan sehingga peristiwa hitam yang terjadi menggubah hidupnya.
Drama dijayakan Hael Husaini, Qasrina Karim dan Nadhir Nasar itu, bakal ditayangkan di slot Megadrama di saluran Astro Ria pada setiap Isnin hingga Khamis bermula 27 Oktober ini. – 17 Oktober, 2023