Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Berhati-hati dengan sumbangan anda, kata Duta Palestin kepada rakyat Malaysia | Scoop

Berhati-hati dengan sumbangan anda, kata Duta Palestin kepada rakyat Malaysia

Adalah penting untuk memastikan sumbangan kepada penduduk Palestin sampai kepada penerimanya selain mengingatkan rakyat Malaysia akan keperluan untuk menyalurkan sumbangan itu kepada saluran yang betul dan perlunya ketelusan serta akauntabiliti

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Duta Palestin ke Malaysia mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menyalurkan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat keganasan di Gaza, kepada tabung derma yang meragukan.

Bercakap kepada Scoop, Walid Abu Ali menekankan adalah penting untuk memastikan sumbangan kepada penduduk Palestin sampai kepada penerimanya selain mengingatkan rakyat Malaysia akan keperluan untuk menyalurkan sumbangan itu kepada saluran yang betul dan perlunya ketelusan serta akauntabiliti.

“Adakah rakyat Malaysia pernah bertanya mengenai penerima sumbangan tersebut? Apabila anda menyumbang, adakah anda pernah bertanya? Adakah sumbangan anda sampai kepada sasaran?’’ soalnya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Di sebalik saranan tersebut, ia juga sebagai peringatan bagi memastikan sumbangan yang dibuat oleh rakyat Malaysia memberikan kesan dan impak positif kepada penduduk Palestin.

Kemurahan hati rakyat Malaysia itu menggambarkan sokongan padu serta berkekalan terhadap penduduk Palestin.

“Saya tidak fikir mana-mana penduduk Palestin boleh mempersoalkan sokongan berterusan Malaysia kepada Palestin,’’ katanya, sambil menyatakan perjuangan penduduk Palestin telah menyatukan rakyat Malaysia.

“Kami percaya, dan saya percaya, bahawa Palestin berada di dalam hati rakyat Malaysia,’’ katanya.
Pada April tahun ini, Walid meluahkan kekecewaan terhadap penyalahgunaan nama Masjid Al-Aqsa untuk tujuan kutipan derma, kerana dana yang dikumpulkan tidak sampai kepada penerima yang disasarkan.

Dakwaan sama pernah dibuat pada 2020, di mana beliau mendakwa derma yang dikumpulkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, tidak sampai kepada dana masjid selama bertahun-tahun.

Susulan itu, beberapa NGO seperti Muslim Care Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Global Peace Mission, MyCARE, Haluan Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Medicom, dan Cakna Palestin, menegaskan bahawa sumbangan yang dikumpul telah disalurkan kepada badan kemanusiaan, serta diaudit.

Ketika membentangkan Belanjawan Madani 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin – termasuk menyediakan dana sebanyak RM10 juta.

Ia adalah tambahan kepada dana permulaan RM1 juta yang diumumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada Khamis.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semua syarikat pelaburan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta akan mengumpul sekurang-kurangnya RM100 juta berikutan keadaan yang semakin kritikal di Semenanjung Gaza.

Keganasan terbaharu di Palestin, yang melibatkan Hamas – yang memerintah Gaza – dan kerajaan Israel, telah membawa kepada beribu-ribu kematian di kedua-dua belah pihak sejak 7 Oktober.

Bagi menangani kebimbangan mengenai pengagihan sumbangan, Walid berkata, sebagai duta, beliau tidak pernah meminta atau secara peribadi menerima sumbangan.

Sebaliknya, semua sumbangan disalurkan menerusi akaun bank yang dibuka dengan kerjasama Wisma Putra, di bawah pemantauan kementerian.

Beliau memberi contoh di mana Zambry menyerahkan cek replika berjumlah RM1 juta untuk sumbangan segera bantuan kemanusiaan kepada Palestin di Parlimen.

Duta berkenaan juga menegaskan beliau tidak mengendalikan wang secara langsung dan semua sumbangan disalurkan kepada saluran yang betul untuk memastikan ia sampai kepada penerima.

Walid juga memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa satu-satunya sumbangan yang dianjurkan oleh kedutaan di sini, semuanya untuk dua tujuan sahaja, iaitu untuk pelajar Palestin dan komuniti Palestin di Malaysia.

Sumbangan ini disalurkan kepada penerima tanpa sebarang perantara.

“Anda boleh menyumbang secara terus kepada mereka yang memerlukan,’’ katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan untuk derma bagi Masjid Al-Aqsa, duta itu menggalakkan rakyat Malaysia menyumbang kepada Dana Hashemite untuk pemulihan Masjid Al-Aqsa dan the Dome of the Rock, yang dikawal oleh Jordan.

Beliau mencadangkan sumbangan itu dibuat menerusi Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan, yang boleh menyelaras proses tersebut.

Untuk bantuan kemanusiaan, Walid mencadangkan sumbangan dibuat menerusi Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir dan Palang Merah Palestin, yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Al-Quds, dan seterusnya.

Bagi memudahkan sumbangan yang diumumkan kerajaan Malaysia, Walid berkata ia akan dihantar dari Malaysia ke Gaza melalui Mesir.

Tambahnya, usaha itu perlu diselaraskan antara kerajaan ke kerajaan (G2G) dan menggalakkan semua pihak, sama ada individu, institusi, kerajaan, badan bukan kerajaan untuk berhubung dengan Wisma Putra, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), atau kedutaan Malaysia di Mesir. – 17 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Related