KUALA LUMPUR – Terkesan dengan konflik peperangan Palestin-Israel, usahawan dan pencipta kandungan Khairul Aming telah menyumbang sebanyak RM100,000 kepada tabung kemanusiaan Cinta Gaza Malaysia (CGM) untuk membantu rakyat Palestin.
Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman ketika berkongsi perkara berkenaan menerusi media sosialnya berkata sumbangan itu diperolehi menerusi hasil jualan produk keluarannya, Sambal Nyet yang sentiasa mendapat sambutan ramai.
Dalam masa yang sama, katanya, Khairul berhasrat untuk membantu CGM mencapai misi tabungan sebanyak RM10 juta yang diperlukan untuk melengkapkan segala bantuan bagi penduduk Palestin apatah lagi untuk musim sejuk di sana.
Hari ni kita salurkan Rm 100k daripada Sambal Nyet ke tabung Cinta Gaza Malaysia (CGM) untuk membantu saudara kita di sana. Sumbangan ini datang daripada sokongan anda semua selama ni.
— Khairulaming (@khairulaming) October 15, 2023
Dalam masa yang sama I want to help CGM untuk penuhkan crowdfunding 10 juta ringgit yang…
“Dalam masa yang sama saya mahu membantu CGM untuk penuhkan crowdfunding RM10 juta yang diperlukan untuk bantuan bahan api, ubat-ubatan, makanan, peralatan mencari dan menyelamat dan lain-lain lagi.
“Buat masa sekarang sudah RM6 juta terkumpul. Tak lama lagi bumi Gaza akan masuk musim sejuk. Jadi, jom kita ajak ramai-ramai untuk penuhkan tabung ini dan anda boleh cari link untuk menderma di semua profil media sosial saya,” katanya.
Khairul turut mengingatkan mereka yang tidak menderma supaya tidak berasa risau kerana apa yang penting ialah doa dan kesedaran mengenai situasi yang dialami penduduk Palestin.
Sehingga petang ini, seramai 2,329 penduduk Palestin termasuk 724 kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel.
Manakala 1.1 juta penduduk di utara Gaza telah diarahkan berpindah ke selatan oleh rejim Zionis, dalam masa 24 jam, bermula Jumaat lalu. – 15 Oktober, 2023