KUALA LUMPUR – Tindakan pengasas dUCK Group, Datin Vivy Yusof melancarkan koleksi ‘The Palestine Duck’ hangat diperkatakan netizen selepas tular gambar tudung, beg dan cawan bermotifkan bendera Palestin keluaran terbaharu syarikat itu sejak semalam.
Majoriti netizen meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Vivy mempromosikan koleksi terbaharunya itu di Instagram yang disifatkan sebagai tidak sensitif terhadap perkembangan konflik Hamas-Israel ketika ini.
Malah, ada netizen mendakwa usahawan itu cuba mengaut keuntungan atas konflik membabitkan kedua-dua negara yang berlaku ketika ini.
“Ini sangat tidak sensitif. Sebaiknya derma jelah terus dekat badan bukan kerajaan (NGO) yang memang menguruskan sumbangan ke Gaza,” kata Hannah Nasir di Instagram.
“Berhenti ambil kesempatan atas kejadian tidak diingini. Ia bagus 100 peratus keuntungan akan pergi ke Palestin tetapi pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku dan kami mendapat keuntungan daripada penderitaan dan mempromosikan jenama kamu. Betapa rendahnya kamu boleh pergi, sifar empati,” kata Nsffiii.
“Tindakan ini amat salah. Adakah kamu tidak nampak berita dan bagaimana penderitaan rakyat Palestin. Ya, kamu melakukan perbuatan yang baik, tetapi tidakkah kamu boleh melakukan derma terus daripada perlu membeli sesuatu daripada jenama kamu. Ini maksudnya mengambil kesempatan,” kata Awhlyaa.
“Berhenti menjadikan penderitaan seseorang sebagai estetika. Orang tengah bertarung nyawa, nak jual ‘gift’ pasal apa?” soal Afiqsuhaili.
“Serius… pada masa ini?” soal Oppagodmother yang turut meletakkan tanda pagar #solidarityforpalestinians
“Rakyat Palestin dibom dan maut. Bagaimana mungkin ada yang berfikir, ya mari kita reka tudung dan cawan untuk bantu dan menjualnya dengan serius,” kata Syariz.
During the previous aggression, they raised over RM 2 million & some portion of the funds were used to buy ultrasound machine for the maternity services at a charity hospital in Gaza.
— Viva Palestina Malaysia (@VivaPalestinaMY) October 14, 2023
Let's continue to help Palestine in ways that we could. Shop in solidarity with 🇵🇸 pic.twitter.com/u4gKHfJaGI
Meskipun ramai mengecam tindakan tersebut, tidak kurang ada yang menyokong usaha dilakukan Vivy.
“Baru lepas buat pembelian dari Indonesia (akhirnya tudung Duck pertama saya). Alhamdulillah. Turut menghantar satu kepada kakak saya yang tinggal di Australia. Terima kasih kerana melakukan usaha ini,” kata Indirahermana.
“Kudos Vivy,” kata Shukorazizah.
“Suka inisiatif seperti ini,” kata Yrakml.
Lebih mengejutkan, walaupun produk itu boleh didapati secara pra pesanan sehingga 17 Oktober ini, beg tote daripada koleksi tersebut yang ditawarkan pada harga RM50 sudah habis terjual.
Susulan itu, ramai meminta Vivy untuk menambah semula stok beg tote tersebut.
Selain beg tote, koleksi ‘The Palestine Duck’ turut menghimpunkan tudung jenis shawl dan bawal yang didatangkan dengan dua warna iaitu putih dan hitam masing-masing berharga RM300 manakala cawan pula RM40.
Meskipun dikecam hebat, pentadbir Instagram theduckgroup turut aktif menjawab komen netizen di hantaran tersebut.
Menurutnya, 100 peratus keuntungan daripada koleksi tersebut akan disumbangkan kepada penduduk Palestin menerusi NGO, Pertubuhan Viva Palestina Malaysia.
“Rakan kami di @vivapalestinamy akan menggunakan sumbangan itu untuk perubatan dan bekalan pembedahan, bahan api untuk bekalan elektrik di hospital dan tempat perlindungan sementara untuk gelandangan, makanan panas dan bakul makanan.
“Malah orang ramai boleh saja menghulurkan sumbangan secara terus ke akaun Pertubuhan Viva Palestina Malaysia yang menguruskan bantuan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Viva Palestina Malaysia menerusi hantaran di laman X mendedahkan dUCK Group berjaya mengumpul lebih RM2 juta daripada koleksi terdahulunya.
Katanya, sebahagian daripada dana itu digunakan untuk membeli mesin ultrasound bagi kemudahan bersalin di hospital amal di Gaza.
“Mari teruskan membantu Palestin dengan apa sahaja cara yang boleh. Membeli-belah dalam solidariti dengan Palestin,” katanya. – 15 Oktober, 2023