KUALA LUMPUR – Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diperkenalkan sebagai akaun baharu yang boleh diakses pencarum pada bila-bila masa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akaun ahli KWSP akan distrukturkan semula untuk memperkasa simpanan persaraan.
Malah katanya, kerajaan akan menambah baik program perlindungan sosial bagi memastikan golongan tumpuan terus mendapat perlindungan sewajarnya.
“Kadar tanggungan kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan ditingkatkan kepada 90 peratus dengan peruntukan RM100 juta.
“Saya menyeru syarikat pengendali untuk menanggung baki 10 peratus caruman bagi pihak pekerja gig. Saya yakin syarikat pengendali platform amat prihatin dengan kebajikan pekerja mereka,” katanya ketika membentangkan Bajet 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan KWSP turut ditingkatkan kepada RM500 setahun terhad kepada RM5,000 seumur hidup.
“Bagi program i-Suri KWSP, had caruman ditingkatkan kepada RM300 setahun terhad kepada RM3,000 seumur hidup.
“Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah akan diteruskan dengan peruntukan RM50 juta memanfaatkan lebih 400,000 suri rumah wanita yang berdaftar di bawah e-Kasih,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, atas dasar kasih dan sayang, program i-Sayang KWSP akan diperluas untuk turut membolehkan isteri memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja kepada suami.
“Kerajaan juga akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada RM5,000 kepada RM6,000.
“Peningkatan ini akan meningkatkan faedah tunai pada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka,” katanya. – 13 Oktober, 2023