KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat seorang ahli perniagaan, Datuk Abdul Malik Dasthigeer atau lebih dikenali sebagai Datuk Malik yang ditahan susulan kes pengubahan wang haram pada Julai lalu.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap individu itu dikendalikan SPRM bersama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).
“Siasatan masih lagi dijalankan dan saya ingin tegaskan ia bukan sahaja melibatkan SPRM tapi satu task force yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk LHDN, Kastam dan lain-lain.
“Jadi kita (kami) mesti ada satu collective investigation findings (rumusan penyiasatan bersama) dan akan dikemukakan kepada Peguam Negara,” katanya ketika ditemui pada Program Public-Private Partnership (PPP) Fasa Dua Bertajuk ‘Cabaran Bersama: Integriti Dalam Menangani Jenayah Kewangan’ di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang ahli perniagaan ditahan bersama sekutunya pada Julai lalu kerana dikatakan terbabit kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah seperti Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz.
Lelaki berusia 42 tahun itu adalah individu pertama ditahan dalam Ops 82S oleh Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguat kuasa Malaysia (MATF) diketuai SPRM.
Azam mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967. – 12 Oktober, 2023