KUALA LUMPUR — Sejumlah 10.38 % saham milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di dalam Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) sudah dipindahkan kepada Ocean Sunshine Berhad, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menjelaskan status pengambilalihan BNSSB sehingga 2 Oktober lalu.
“Baki 68.85 peratus dan 20.77 peratus masing-masing milik Boustead Holdings Berhad dan Perstim Industries Sdn Bhd kini dalam proses rundingan untuk dipindah milik dan dijangka dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada suku ke-empat tahun ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin mengetahui status terkini pengambilalihan Boustead Naval Shipyard oleh Kementerian Kewangan dan apakah hala tuju atau visi misi dan objektif terhadap pengambilalihan tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, hala tuju, visi dan misi serta objektif pengambilalihan BNSSB itu termasuk memastikan BNSSB dapat menyiapkan pembinaan lima buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) dalam tempoh yang ditetapkan seperti mana Perjanjian Tambahan Keenam.
Selain itu, kata beliau, ia bagi memastikan tata kelola yang baik di dalam pengurusan syarikat berkaitan kerajaan termasuk pengurusan kewangan yang telus dan pengurusan projek yang lebih teratur.
“Objektif pengambilalihan itu juga bagi menguruskan ketersediaan pengurusan belanjawan yang lebih tersusun dan baik bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan mengikut kontrak yang telah ditandatangani.
“Seterus memastikan ekosistem pembinaan kapal yang melibatkan vendor tempatan dan antarabangsa, pihak institusi kewangan yang menyediakan pembiayaan dapat dipulihkan bagi menjana aktiviti ekonomi di Lumut khususnya.
“Ia juga bagi memastikan aset strategik negara disiapkan untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan imej negara terpelihara,” katanya. – 12 Oktober, 2023