Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Henti politikkan pelaksanaan semula PLKN, ia mampu galak patriotisme, perpaduan belia | Scoop

Henti politikkan pelaksanaan semula PLKN, ia mampu galak patriotisme, perpaduan belia

Namun, modul baharu PLKN diharap lebih neutral, bersifat kenegaraan dan tidak menjadi modal politik, sebaliknya dapat membentuk peserta yang berdisiplin, kalis cabaran, benci rasuah, tidak ekstrem serta berjiwa bangsa

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Wujud keperluan untuk modul pembangunan kemahiran insaniah serta teknikal berasaskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), dimasukkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai persediaan awal bagi memastikan generasi muda mampu menghadapi cabaran masa depan.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Zairudin Hashim berkata, kerjasama dengan pelbagai agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) harus dilakukan, agar modul itu dapat melahirkan anak muda berkemahiran tinggi, selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan terbabit selepas menamatkan latihan.

“Nilai tambah modul yang boleh dilaksanakan Kementerian Pertahanan adalah memasukkan kemahiran agar peserta bukan sahaja diterapkan dengan asas disiplin ala ketenteraan, namun mereka memiliki ‘softskill’ (kemahiran insaniah) yang boleh digunakan untuk bekerja atau sebagai ilmu baharu diri mereka.

“Laksanakan kerjasama dengan pelbagai pihak NGO dan kerajaan. Dahulunya, ada terlibat dengan (program anjuran) Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), namun ia agak terhad dan tidak sama seperti PLKN,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan bahawa kerajaan akan meneruskan PLKN 3.0 dengan kaedah latihan berbeza pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Isnin lalu. – Gambar Bernama, 12 Oktober, 2023

Isnin lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan akan melaksana Program Latihan Khidmat Negara 3.0 mengikut acuan baharu berbanding sebelum ini.

Jelasnya, PLKN 3.0 juga tidak akan berbelanja besar seperti dua fasa terdahulu sebaliknya akan memanfaatkan segala aset tenaga kerja serta kem-kem wataniah yang ada di seluruh negara.

Sementara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar modul literasi kewangan turut dimasukkan dalam PLKN 3.0 sebagai persediaan awal generasi muda hadapi cabaran masa depan

Mengulas lanjut, Zairudin mengharapkan agar Kerajaan Perpaduan menjadikan PLKN sebagai program yang memfokuskan kepada aspek kenegaraan, bukan landasan untuk politik kepartian.

“Dengan adanya literasi kenegaraan ini, anak muda akan turut faham apa itu politik kerana selalu mereka hanya tahu politik adalah Umno, PAS atau PKR, tapi tidak faham sistem politik yang anak muda tidak boleh tolak. Sudah pasti persepsi politik boring sehingga tidak mampu turun undi akan dapat dimatikan jika perkara itu diaplikasikan.

“Kedua, harus cari kaedah untuk menerapkan soal Rukun Negara agar anak muda faham sebab apa Malaysia dibina, selain ia harus menjadi agenda yang akar umbi mahukan, di mana rakyat tidak dipaksa kerajaan, namun belia sendiri yang akan terbuka untuk menyertai PLKN,” katanya.

Dalam pada itu, Zairudin menyambut baik tindakan kerajaan melaksanakan semula PLKN susulan ia terbukti berjaya menyemai semangat patriotisme, selain meningkatkan perpaduan dalam kalangan peserta.

“Selain mampu memupuk perkara itu, paling utama ia dapat membentuk disiplin dan keyakinan diri kerana selepas era PLKN dimansuhkan, (belia) tidak mencapai tahap yang kita mahukan, iaitu lebih ramai golongan itu terlibat aktiviti kesukarelaan, selain tiada semangat kebertanggungjawaban.

“Sehubungan itu, walaupun Menteri Pertahanan mahu melaksanakan latihan ala ketenteraan, ia tidak sampai sehingga tahap peserta akan didera, cuma kerajaan mahu menekankan untuk meningkatkan keyakinan diri agar apabila keluar, mereka akan selesa berintegrasi dengan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Generasi Malaysia (YGM), Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi mengharapkan agar modul baharu PLKN perlu dipastikan neutral, benar-benar bersifat kenegaraan serta tidak menjadi modal atau alat propaganda politik pihak tertentu

Jelasnya, pelaksanaan semula PLKN dilihat penting dan kena pada masa disebabkan ia bukan sahaja memupuk semangat jati diri dan patriotik generasi muda negara, bahkan menjadikan mereka berdisiplin, kalis cabaran, benci rasuah, tidak ekstrem serta memiliki jiwa citra sebenar bangsa Malaysia.

“PLKN tolong jangan dipolitikkan, jangan ada anasir lain mengatakan ini agenda politik, bagi saya belia akan menolak mereka yang menjadikan program itu sebagai isu. Sudah-sudahlah, berilah peluang kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melahirkan generasi lebih beradab, berakhlak serta paling penting belia yang berintegriti.

“Modulnya juga boleh ditambah baik dengan 50 peratus bagi pembentukan wataniah dengan pelbagai latihan lasak, lagi separuh untuk semangat mahupun pembangunan jati diri.

Perkara itu perlu diperhalusi kerajaan secara terperinci,” katanya. – 12 Oktober, 2023.

Topics

 

Hangat

Related