KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan harga gula kasar dan halus bersubsidi dikekalkan pada kadar siling, iaitu RM2.85 serta RM2.95 sekilogram (kg), walaupun berlaku lonjakan harga barangan asas itu di pasaran dunia.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, tidak timbul isu kekurangan bekalan gula memandangkan semua pengeluar dan pemborong diwajibkan melaporkan jumlah bekalan komoditi itu dalam simpanan secara harian dan mingguan.
Menurutnya, syarat itu yang ditetapkan kerajaan sejak Jun lalu bertujuan bagi mengenal pasti pergerakan bekalan gula, di samping memastikan pasaran tempatan sentiasa dalam keadaan kondusif.
“Selain membolehkan KPDN mendapat maklumat mengenai stok gula oleh pihak pengeluar dan pemborong, arahan berkenaan juga membolehkan kita memperoleh bilangan barangan asas itu dijual kepada peruncit yang dilaporkan mengikut ketetapan.
“Kerajaan juga akan terus memastikan gula dikeluarkan pada kadar ditetapkan, iaitu 24,000 tan bagi MSM Malaysia Holding Berhad (MSM) serta 18,000 tan bagi Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR),” katanya kepada Scoop.
Bagaimanapun, Fuziah memaklumkan, kenaikan harga gula di pasaran antarabangsa dijangka menyebabkan pertambahan kos kepada pengeluar bernilai RM1 bagi setiap paket gula.
“Kita memiliki beberapa pilihan menerusi intervensi kerajaan agar dapat mengatasi pertambahan kos dalam kalangan pengeluar gula tempatan.
“Perkara ini akan kita bawa ke mesyuarat Kabinet dalam tempoh terdekat agar pelbagai opsyen secara holistik mampu diwujudkan bagi mengatasi permasalahan terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa melaksanakan rundingan secara strategik bersama pengeluar dan terbuka menerima pelbagai cadangan demi kelestarian industri gula agar ia sentiasa berdaya tahan.
Jelasnya, KPDN juga tidak pernah menghalang mana-mana pihak swasta yang mahu membangunkan semula industri tebu tempatan di Chuping, Perlis agar dapat membantu memenuhi permintaan gula dalam negara.
“Namun, pihak kita setakat ini tidak menerima cadangan bagi pembukaan semula tanaman tebu di kawasan tersebut. Perkara itu kita serahkan kepada MSM dan CSR susulan masing-masing merupakan syarikat senaraian awam dan persendirian.
“Pembangunan semula industri tebu tempatan berpandukan kepada keperluan serta pilihan daripada mereka. Bagaimanapun, kita mencadangkan agar kerajaan dijadikan pemudah cara bagi rundingan dengan negara luar untuk perkara berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneliti laporan mengenai kekurangan bekalan gula bersubsidi di pasaran sehingga pasar raya dan kedai runcit terpaksa meningkatkan penjualan gula berkategori premium.
Menurut sumber KPKM, isu tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan syarikat pembekal perlu mematuhi perjanjian untuk membekalkan minimum 42,000 tan metrik gula bersubsidi dalam tempoh seminggu. – 11 Oktober, 2023