KUALA LUMPUR – Sazarice Sdn Bhd menafikan dakwaan beras keluaran syarikat itu adalah beras plastik seperti yang tular dalam sebuah video dipercayai berlaku di daerah Sandakan, Sabah, hari ini.
Syarikat itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, mereka sentiasa memastikan kualiti beras yang terbaik untuk semua produk jenama Sazarice.
“Kepada pengguna setia beras jenama Sazarice, pihak kami ingin menegaskan dakwaan daripada isu viral beras plastik adalah tidak benar.
“Sazarice menjamin beras keluaran kami hanyalah yang berkualiti dan mematuhi piawaian yang diiktiraf oleh Halal, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (HACCP) dan ISO 9001,” katanya.
Terdahulu, sebuah video berdurasi satu minit 20 saat tular pagi tadi dengan memperlihatkan seorang lelaki mendakwa beras yang dijual di salah sebuah premis di daerah Sandakan adalah beras plastik.
Mengulas lanjut, Sazarice berkata, mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang cuba memburukkan nama syarikat itu.
“Untuk makluman, pihak Sazarice Sdn Bhd sudah membuat laporan polis susulan isu viral itu dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Justeru, Sazarice menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak benar atau menyebar maklumat palsu tanpa pengesahan pihak berkuasa yang boleh mengugat ketenteraman dan kegusaran masyarakat.
Sementara itu, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya sudah mengarahkan anggota penguat kuasa untuk melaksanakan siasatan berkaitan kes terbabit.
Menurutnya, beliau juga akan meneliti perkara itu kerana menyifatkan penjualan beras plastik tidak sepatutnya berlaku kerana ia membabitkan kesihatan pengguna.
“Saya sudah mengarahkan siasatan diadakan serta-merta. Penelitian dibuat melalui KPDN cawangan Sandakan dan siasatan sedang dilakukan bersama Bahagian Kawalselia Padi dan Beras.
“Setakat ini, siasatan menggunakan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna.
“Premis yang didakwa menjual beras plastik seperti dalam video tular juga sudah dilawati dan kita sedang mendapatkan maklumat tambahan daripada pengadu yang menularkan video itu,” katanya. – 9 Oktober, 2023